Buletin
"Dukun" bakal ditayangkan di Indonesia


Tarikh disiarkan: 8 Ogos 2018


Salah satu babak dalam "Dukun".

8 Ogos – Filem kontroversi "Dukun" terus mencipta kejayaan apabila ia bakal ditayangkan di Indonesia bermula Khamis ini.

Terdahulu, filem arahan Dain Said ini telah berjaya mengutip lebih RM11 juta selepas ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Berita gembira ini diumumkan oleh Ketua Astro Shaw iaitu Najwa Abu Bakar yang nyata bangga dengan pencapaian filem itu.

"Sebelum ini "Dukun" telah menyertai New York Asian Festival dan ditayangkan di sana. Kini "Dukun" ke Indonesia, satu perkembangan yang baik untuk filem tempatan, malah penonton di sana amat menantikannya setelah mereka mengetahui dari media sosial.


"Kami juga sedang menantikan beberapa negara lain yang akan menayangkan filem ini serta beberapa festival filem antarabangsa di mana filem itu bakal dipertandingkan," ujarnya yang dipetik dari mStar.

Terdahulu, filem kontroversi ini akhirnya ditayangkan juga selepas 12 tahun menunggu apabila filem yang sepatutnya ditayangkan pada Disember 2007 diharamkan dari tayangan.

Ia berkisarkan tentang seorang lelaki bernama Karim, seorang bapa yang terdesak untuk mencari anak perempuannya yang hilang dengan bantuan OKT (Orang Kena Tuduh) yang mengamalkan ilmu hitam.

"Dukun" dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Datin Umie Aida, Faizal Hussein, Ramli Hassan, Hasnul Rahmat, Namron, Bront Palarae dan Elyana.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)