"Ejen Ali The Movie" bakal tampil lebih hebat | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Ejen Ali The Movie" bakal tampil lebih hebat

Penulis: Ashraf Nasser


Beberapa elemen termasuk ejen MATA baru akan diperkenalkan dalam filem pertama "Ejen Ali".

3 Dis – Selepas beberapa tahun mencipta nama di kaca televisyen, filem animasi "Ejen Ali" akhirnya bakal diangkat ke layar perak pada tahun hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Primeworks Studios yang mengumumkan penerbitan filem animasi itu yang dijangka akan menemui penonton pada hujung 2019.

Lebih menarik apabila pencipta dan pengarah "Ejen Ali" iaitu Usamah Zaid Yasin yang memberitahu dalam filem ini mereka akan memperkenalkan elemen baru yang belum pernah ditayangkan dalam siri televisyen.

"Antaranya, perkenalan ejen baru serta paparan bandar Cyberjaya dengan lebih mendalam. Kalau dalam siri televisyen, hanya sebahagian kecil kawasan bandar dan sekolah ditunjukkan kepada penonton.

"Malah, beberapa ejen MATA baru juga akan diperkenalkan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Selain itu, watak antagonis penuh misteri dari masa silam Ali juga bakal diperkenalkan bagi membuatkan jalan cerita lebih menarik.

Antara penambahbaikan lagi termasuk pelbagai peranti baru dan kenderaan canggih akan diketengahkan.

Dalam pada itu, sebelum filem itu menemui penonton di pawagam, sebuah aplikasi permainan baru Ejen Ali akan dilancarkan.

Siri animasi ini berkisarkan tentang seorang kanak-kanak yang secara tidak sengaja terikat dengan peranti perisikan IRIS milik agensi pengintip, MATA.

Sejak ia dilancarkan pada 2016, siri animasi "Ejen Ali" ini sudah pun disiarkan di 50 buah negara dan ia menjadi animasi kanak-kanak popular di Asia Tenggara.

(Sumber foto: Ejen Ali Instagram)

Cinema Online, 03 Dis 2018


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan