Buletin
Erra Fazira utamakan keserasian berbanding mendapat watak utama


Tarikh disiarkan: 2 Julai 2018


Erra Fazira akan pertimbang untuk terima watak utama sekiranya watak tersebut menarik dan berbaloi.

2 Jul– Pelakon popular tanah air Erra Fazira memberitahu bahawa watak utama bukanlah menjadi keutamaannya ketika ini kerana dia lebih mementingkan keserasian watak berbanding menjadi peneraju untuk sesebuah filem.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berkata pendiriannya itu sudah dipegang lebih 20 tahun dalam dunia seni dan ia tidak berubah, dan dengan keadaannya sekarang ia juga membuatkannya menolak untuk pegang watak utama.

"Saya kini mengamalkan konsep kerja secara bijak dan bukan kerja kuat kerana mempunyai tanggungjawab lain untuk diuruskan, terutamanya anak saya, Engku Aleesya Engku Emran yang sedang membesar.

"Saya tidak nafikan memang ada menerima banyak tawaran heroin, namun tidak banyak yang mampu bertoleransi dengan jadual kerja saya yang padat. Jadi lebih baik saya membawa watak yang lebih kecil dan kurang komitmen," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!


Pelakon yang diberi gelaran Primadona Filem Melayu Alaf Baru ini bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan menerima watak utama sekiranya dia dapat mengosongkan jadual kerja untuk satu tempoh tertentu.

Sementara itu, selain berlakon Erra juga meluahkan rasa rindunya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian, tetapi terpaksa menahan terlebih dahulu kerana masih belum berjumpa dengan genre lagu yang sesuai dengan imejnya kini.

Pelakon "Warna Cinta Impian" ini berkata jika boleh dia mahu single terbarunya kelak mempunyai elemen positif dan menyebarkan mesej yang baik.

(Sumber foto: Erra Fazira Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Warna Cinta Impian (Melayu) (31 Mac 2016)
Longkai (Melayu) (10 Oktober 2013)
Soulmate Hingga Jannah (Melayu) (16 Februari 2017)