8 Ogos – Pelakon popular Nur Fazura memberitahu dia bakal bergandingan dengan suaminya iaitu Fattah Amin untuk sebuah drama bersiri terbaru tidak lama lagi. "Setakat ini, skripnya sudah ada dan ia dijangka direalisasikan hujung tahun ini. Saya juga tidak ada masalah berlakon dengan suami dalam drama. "Namun, saya ada bercakap dengan Fattah, mungkin kali ini kami tidak bercinta dalam drama kerana tidak mahu penonton bosan. "Bagaimanapun, peminat tetap mahukan kami bercinta dalam drama walaupun sudah berkahwin," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro. Pasangan ini mula mencipta fenomena menerusi gandingan mereka dalam dua drama sebelum ini berjudul "Hero Seorang Cinderella" dan "Wanita Terindah" yang mana ketika itu mereka masih belum bergelar sebagai suami isteri. Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai watak yang menjadi pilihannya, pelakon "Langit Cinta" ini tidak memilih watak baik sahaja, sebaliknya dia tidak kisah sekiranya diberikan watak antagonis. Malah dia juga tidak kisah sekiranya dikecam atau dibenci oleh penonton kerana sekiranya perkara itu berlaku, bermakna lakonannya berjaya memberi impak. Selain berlakon, aktres berusia 35 tahun ini juga aktif dengan bidang nyanyian yang mana dia kini sibuk mempromosikan album pertamanya yang dilancarkan pada hujung tahun lalu. Dia juga sedang dalam perancangan untuk mengadakan 'showcase' dan sesi ramah mesra bersama peminat di Kota Kinabalu, Sabah nanti. (Sumber foto: Nur Fazura Instagram)