Fazura rancang untuk berkolaborasi dengan Shane Filan dari Westlife | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Fazura rancang untuk berkolaborasi dengan Shane Filan dari Westlife

Penulis: Florey DM


Fazura akan buat persembahan dengan Shane Filan pada konsert yang sama di Malaysia pada Januari 2019.

18 Nov – Penyanyi dan pelakon Fazura mendedahkan dia merancang untuk meriliskan lagu baru dengan rakan selabel iaitu Shane Filan.

"Tetapi yang pertama, saya perlu bertemu dengan Shane terlebih dahulu. Saya perlu melihat sama ada kami ada keserasian atau tidak supaya kami dapat bekerjasama dengan baik," ujarnya pada sidang media untuk Konsert Elmina Lakeside baru-baru ini.

Menurut Fazura, ketika ini ia masih lagi di peringkat awal dan tidak tahu lagi siapa yang akan menghasilkan lagu itu, sama ada oleh penerbit tempatan atau antarabangsa.

Fazura akan bertemu dengan penyanyi dari Ireland itu yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Westlife di konsert Elmina Lakeside yang akan berlangsung pada 19 Januari 2019.

Ditanya bagaimana boleh tercetus idea untuk berkolaborasi, Fazura berkata memandangkan mereka berada di bawah naugan syarikat sama iaitu Universal Music Malaysia, jadi pihak syarikat label bertanyakan kepadanya sama ada dia mahu berduet dengan Shane dan sudah tentu dia bersetuju.

"Saya sememangnya peminat tegar Westlife," akuinya.

Terdahulu, mereka sudah mempunyai perancangan untuk berkolaborasi sejak tahun lalu tetapi dek kerana kesibukan mereka ambil keputusan untuk masukkan lagu duet tersebut untuk album kedua.

Sementara itu, walaupun lagu duet itu masih belum mendapat kata putus, namun peminat bakal disajikan dengan single terbaru Fazura yang dijangka akan diriliskan pada Januari tahun depan.

Single terbaru ini dihasilkan oleh Willy Beamen dan Cameron Forben yang pernah bekerja dengan penyanyi terkenal dari Amerika seperti Demi Lovato dan Tyga.

Lagu terbaru Fazura itu telah dirakam ketika dia berada di Los Angeles bulan lalu.

Cinema Online, 18 Nov 2018

Filem Berkaitan:
Langit Cinta (Malay) (07 Jan 2016)
Tembus (Malay) (28 Jul 2014)
J Revolusi (Malay) (02 Mar 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan