Buletin
Fikry Ibrahim mahu beraksi di layar perak pula


Tarikh disiarkan: 12 November 2018


Fikry Ibrahim juga kini sedang berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan.

12 Nov – Pelakon yang sedang meningkat naik Fikry Ibrahim memberitahu dia mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap lakonannya ke dunia filem pula selepas ini.

Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim berkata, dia menyasarkan untuk merealisasikan impiannya untuk beraksi di layar perak dalam tempoh lima tahun.

"InsyaAllah selepas ini saya mensasarkan untuk berlakon filem pula. Ini kerana, kalau kita terlibat dengan filem, peluang kita untuk pergi ke pasaran antarabangsa itu lebih tinggi.

"Mungkin selepas ini saya boleh ke Indonesia pula untuk menerima anugerah di sana," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!


Fikry memulakan kerja seninya selepas terlibat dengan program pertandingan "Lawak Solo" sebelum mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan drama.

Namun namanya mula melonjak naik selepas membintangi drama hit "Hero Seorang Cinderella" yang diterajui oleh Fattah Amin dan Fazura.

Tambahnya lagi populariti yang diraih pada hari ini banyak disebabkan penangan barisan pelakon lain yang bergandingan dengannya dalam sesebuah naskhah, yang mana secara tidak langsung membuka ruang kepada peminat lain untuk mengenali dirinya.

Dalam pada itu, Fikry yang memulakan kerjaya sebagai pelawak menjelaskan dia mahu terus kekal membawa gelaran sebagai pelawak walaupun kini lebih fokus kepada kerjaya lakonan.

Selain berlakon dia juga kini sudah mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

(Sumber foto: Fikry Ibrahim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide