Filem "One Two Jaga" arahan Namron tercalon di New York | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem "One Two Jaga" arahan Namron tercalon di New York

Penulis: Ashraf Nasser


Selain menempa banyak kejayaan dalam negara, Namron terus cemerlang di peringkat antarabangsa.

20 Jun – Filem arahan dan lakonan Namron berjudul "One Two Jaga" telah mencipta kejayaan membanggakan negara apabila berjaya tercalon di Festival Filem Asia ke-17 di New York 2018 (NYAFF).

Filem itu dicalonkan dalam kategori Filem Cereka Terbaik bersama enam lagi karya dari Asia iaitu "Blood of Wolves" (Jepun), "Liverleaf" (Jepun), "The Looming Storm" (China), "Men on the Dragon" (Hong Kong), "Microhabitat" (Korea Selatan) dan "Respeto" (Filipina).

"Dari Shanghai ke New York perjalanan diteruskan membawa Malaysia ke persada dunia. Alhamdulillah," ujar Namron yang dipetik dari Harian Metro.

Ketika ini Namron sedang sibuk dengan siri jelajah bagi mempromosikan filem ini di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-21 (SIFF) di China dari 16 hingga 25 Jun ini.

Filem terbitan Pixel Play Entertainment dan Jazzy Pictures itu mengangkat kisah sisi gelap anggota badan beruniform yang terlibat dengan rasuah dan jenayah, selain konflik kemanusiaan.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah dan juga dua pelakon Indonesia iaitu Ario Bayu dan Asmara Abigail.

Sementara itu, NYAFF bakal berlangsung di Film Society of Lincoln Center dan SVA Theatre bermula 29 Jun hingga 15 Julai depan.

Cinema Online, 20 Jun 2018

Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Redha (KKIFF) (Malay) (22 Jul 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan