Buletin
FINAS pandang serius isu filem "Dukun" bocor


Tarikh disiarkan: 7 Februari 2018


Filem "Dukun" (2007) telah diharamkan oleh LPF di Malaysia.

7 Feb – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberitahu bahawa mereka melihat isu kebocoran filem "Dukun" di Internet sebagai perkara serius dan mereka akan bekerjasama dengan beberapa badan untuk bertindak bagi menangani masalah seumpama ini.

"Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab dan beretika.

"Namun, kita perlu maklumat lanjut memandangkan ia melanggar isu hak cipta dan harta intelek. FINAS berharap pengguna sedar tindakan menyebar dan memuat turun kandungan adalah salah di sisi undang-undang," ujar Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob yang dipetik dari Harian Metro.


Datuk Fauzi pada masa sama turut meminta agar semua pihak dapat memberi kerjasama dalam usaha untuk membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa ini.

Dalam pada itu, pengarah filem "Dukun", Dain Said mengakui tidak tahu langsung mengenai kebocoran filem berikutan dia berada di luar kawasan yang tidak mempunyai jaringan Internet.

Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana sudah lama 'move on' dari filem itu.

Sementara itu, pihak penerbit filem tersebut iaitu Astro Shaw menerusi Najwa Abu Bakar, turut enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu berikutan ia masih dalam siasatan.

Filem "Dukun" (2007) adalah sebuah filem adaptasi dari kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa merupakan pengamal ilmu hitam.

Namun filem tersebut telah diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) berikutan dikatakan menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Datin Umie Aida, Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Adlin Aman Ramli, Nadiya Nisaa, Deana Yusof, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.