Henry Golding angkat P. Ramlee sebagai inspirasi dalam lakonannya | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Henry Golding angkat P. Ramlee sebagai inspirasi dalam lakonannya

Penulis: Ashraf Nasser


Henry Golding semakin rancak atur kerjaya di Hollywood.

18 Ogos – Pelakon tempatan yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding mengangkat Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee sebagai inspirasi utamanya dalam mencipta kejayaan dalam dunia lakonan.

Henry berkata demikian dalam satu temubual dengan akhbar tersohor di Amerika Syarikat iaitu Hollywood Reporter yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya.

"Pertama kali saya melihat diri saya muncul di skrin ketika saya masih kecil di Malaysia. Terdapat seorang pelakon prolifik dan lagenda sepanjang zaman yang diberi nama P. Ramlee.

"Beliau merupakan Frank Sinatra atau Charlie Chaplin versi Malaysia. Beliau menyanyi, berlakon, mengarah, menulis dan menghasilkan karya-karya yang masih diingati. Beliau masih lagi hero di Asia sehingga kini," ujarnya.

Pelakon kelahiran Sarawak ini kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaru lakonnya berjudul "Crazy Rich Asians" yang akan menemui penonton di seluruh negara bermula 22 Ogos ini.

Apa yang membanggakan adalah dia diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama sebagai Nick Young, yang mana dia bergandingan dengan pelakon Hollywood A-list iaitu Constance Wu.

Dalam filem arahan Jon M Chu itu, ia turut menyaksikan seorang lagi pelakon tempatan Tan Sri Michelle Yeoh turut membintangi filem tersebut.

Sementara itu, selain "Crazy Rich Asians", Henry juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem Hollywood berjudul "A Simple Favor" yang mana dia akan bergandingan dengan Anna Kendrick dan Blake Lively.

(Sumber foto: Henry Golding Instagram)

Cinema Online, 18 Ogos 2018

Filem Berkaitan:
Crazy Rich Asians (22 Aug 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan