Josiah Hogan harap diberi peluang bawa watak utama | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Josiah Hogan harap diberi peluang bawa watak utama

Penulis: Ashraf Nasser


Josiah Hogan tunggu satu sahaja peluang untuk melonjak namanya.

27 Feb – Biarpun sudah lama berkecimpung dalam dunia seni, namun pelakon Josiah Hogan mengakui dirinya masih lagi kurang dikenali ramai, malah ada yang beranggapan dia sudah bersara dari dunia seni.

Josiah atau nama sebenarnya, Josiah Hogan Mohamad Musleh berkata, walaupun dia sentiasa mempunyai tawaran berlakon, namun namanya masih lagi belum berjaya dikenali ramai berikutan kurang membintangi drama TV popular.

Pelakon berusia 32 tahun itu juga kecewa apabila dirinya tidak diberi peluang langsung atas alasan wajahnya yang tidak sesuai dengan watak yang dimahukan produksi.

"Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali saya dapat alasan begitu yang sekaligus mengecilkan lagi ruang untuk saya melebarkan sayap. Walaupun berdarah kacukan, saya tetap Islam, berjiwa Melayu dan memang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia sejak kecil.

"Namun entah kenapa kepercayaan itu tidak diberikan kepada saya sedangkan niat saya sama saja dengan pelakon lain. Tahun lalu saya pernah kehilangan lebih 90 peratus tawaran berlakon dengan alasan tidak sesuai dengan watak diberikan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, Josiah tidak kecewa, sebaliknya meminta dirinya diberi peluang untuk dipilih menjadi pelakon utama supaya dia dapat membuktikan kemampuan lakonannya.

Josiah juga mendedahkan sudah beberapa tahun namanya tidak lepas apabila diusulkan kepada stesen TV, tetapi dia tidak ambil pusing sangat kerana menganggap ia belum sampai lagi rezekinya.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Josiah bakal muncul dengan sebuah filem terbaru berjudul "KL Vampires" yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Filem mengenai pontianak moden ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Raja Ilya, Pablo Amirul serta pelakon aksi dari Indonesia, Donny Alamsyah.

(Sumber foto: Josiah Hogan Instagram)

Cinema Online, 27 Feb 2018

Filem Berkaitan:
Surf This Love: Gelora Juara (Malay) (22 Feb 2018)


Waktu Tayangan