"Kampung Boy" bakal diangkat ke layar perak | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Kampung Boy" bakal diangkat ke layar perak

Penulis: Ashraf Nasser


"Kampung Boy" adalah salah sebuah komik tempatan yang masih popular sehingga kini.

2 Mac – Komik popular "Kampung Boy" nukilan Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, sememangnya sebuah naskhah yang hebat, yang mana ia pernah diangkat ke siri televisyen dan juga ke pentas muzikal.

Kini karya Lat bakal mencipta sejarah baru apabila ia bakal diangkat ke layar perak pula tidak lama lagi, yang mana ia akan diarahkan oleh seorang pengarah dari Perancis.

Menurut kartunis berusia 67 tahun itu, dia teruja dapat bekerjasama dengan pengarah tersebut kerana dia pernah menonton filem arahan pengarah itu yang berkisarkan tentang kehidupan kanak-kanak Vietnam pada tahun 50an.

"Ada ramai kawan-kawan orang filem yang berminat mengadaptasikan karya saya kepada filem dalam bentuk kehidupan sebenar. Saya kata, cukuplah, saya sudah letih berbual mengenai "Kampung Boy".

"Tetapi apabila menerima tawaran pengarah dari Eropah yang ingin memfilemkannya, terpaksalah saya berbincang," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Apa yang membuatnya tertarik dengan tawaran itu adalah kerana pihak produksi hendak mengetengahkan kebudayaan dan kehidupan Melayu di kampung, dan Malaysia, yang mana orang luar negara tidak tahu mengenainya.

Sekiranya projek ini menjadi kenyataan, ia pasti akan menjadi sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton.

Cinema Online, 02 Mac 2018

Waktu Tayangan