Buletin
"KL Gangster Underworld" lebih ekstrim


Tarikh disiarkan: 16 Ogos 2018


Penerbit Skop Productions, penerbit iflix bersama barisan pelakon "KL Gangster Underworld".

16 Ogos – Selepas kejayaan filem "KL Gangster 1 & 2", kini sebuah lagi naskhah bertemakan gengsterisme dihasilkan oleh Skop Productions dan iflix untuk Original Series yang diberi judul "KL Gangster Underworld" (KLGU).

Dalam drama iflix ini akan menyaksikan garapan yang dihasilkan lebih ekstrim daripada dua buah filem "KL Gangster" terdahulu kerana tidak terikat dengan garis panduan seperti yang ditetapkan untuk tayangan pawagam.

Menurut penerbit bersama yang merupakan pengarah tersohor tanah air iaitu Syafiq Yusof, KLGU memberikannya ruang yang lebih untuk tampil lebih daring.

"Jika sebelum ini kami terpaksa memikirkan soal garis panduan supaya ia tidak keterlaluan untuk tayangan di pawagam, tetapi untuk drama iflix ini kami tidak perlu fikir mengenai soal itu dan ini memberikan kami terutamanya pengarah lebih ruang untuk berkarya.


"Antaranya adalah penggunaan bahasa kasar yang mana jika untuk tayangan di pawagam ia tidak boleh digunakan, tetapi untuk drama iflix kami banyak menggunakan bahasa kasar," ujarnya yang ditemui pada majlis pratonton "KL Gangster Underworld" yang berlangsung di Suzie Wong, KL semalam.


Barisan pelakon utama "KL Gangster Underworld".

Sementara itu, Pengarah Global Original Programming iflix, Mark Francis pula berkata pihaknya berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Skop Productions bagi mengangkat francais "KL Gangster" ke iflix.

"Kami sangat teruja untuk menayangkan drama tempatan yang tampil lebih segar dengan 'twists' dan kejutan yang pasti akan memberikan kepuasan kepada penonton. Malah naskhah ini juga menjanjikan sebuah naskhah yang hebat, padat dengan aksi dan lebih penting ia tampak realisitik."

KLGU diarahkan oleh pengarah yang cukup sinonim dengan filem aksi iaitu Faisal Ishak yang mana dia sebelum ini pernah mengarahkan trilogi filem "Juvana" yang diangkat dari drama bersiri popular arahannya.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Beto Kusyairy, Ezzaty Abdullah, Azhan Rani, Hasnul Rahmat, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Dynas Mokhtar, Fezrul Khan, Daniella Sya dan ramai lagi.

KLGU yang mempunyai sebanyak 6 episod untuk musim pertama ini akan mula ditayangkan pada hari ini (16 Ogos) secara percuma di iflix.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide