Buletin
Filem "KL Wangan" jadi mangsa 'FB Live'


Tarikh disiarkan: 5 Januari 2018


Nampaknya ia seperti menjadi trend kepada penonton untuk buat FB Live setiap kali tonton filem di pawagam.

5 Jan – Nampaknya masih lagi ada segelintir individu yang tidak serik atau ambil pengajaran daripada isu sama sebelum ini apabila kali ini filem aksi "KL Wangan" pula menjadi mangsa siaran langsung di laman sosial Facebook.

Perkara itu didedahkan oleh pengarah, penerbit dan juga pelakon filem itu iaitu Pekin Ibrahim di laman sosial Instagram miliknya.

Dalam postingnya, Pekin berada di sebuah balai polis untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.


Gambar yang dimuat naik Pekin Ibrahim di laman Instagram miliknya.

"Tidak mampu berkata apa, biarlah pihak berkuasa yang mengambil tindakan," tulisnya yang turut disertakan hastag #perjuanganfilemmalaysia #hentikanFBlive #Klwangan #istiqomah #supportfilemmalaysia.

Dalam pada itu, rata-rata peminat dan rakan artis lain turut tampil memberikan komen positif kepada Pekin supaya banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku kepada filem kedua arahannya.


Ini bukanlah kali pertama, kerana sebelum ini beberapa buah filem tempatan menjadi mangsa sama seperti "Kau Yang Satu", "Abang Long Fadil 2" dan terbaru, "Pinjamkan Hatiku", yang mana individu yang tidak bertanggungjawab itu kemudian telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Osman Ali dan pihak penerbit membuat laporan polis.

Diharap peminat-peminat di luar sana tidak memandang remeh hal ini dan jangan sesekali membuat siaran langsung di Facebook ketika menonton wayang, kerana ia bukan sahaja menjejaskan pembikin filem itu sendiri, malah diri sendiri juga kerana bakal dikenakan tindakan undang-undang.

(Sumber foto: Pekin Ibrahim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser