Buletin
Lisa Surihani galas tanggungjawab besar jayakan Konsert Gergasi KRU 25


Tarikh disiarkan: 23 April 2018


Lisa Surihani tidak pernah fikir soal populariti sejak mula menceburi bidang seni.

23 Apr – Setelah lama menyepikan diri dari dunia seni, pelakon dan pengacara popular Lisa Surihani kembali aktif apabila dia bakal menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif Konsert Gergasi KRU 25.

Konsert terakhir kumpulan KRU itu bakal berlangsung di Istana Budaya pada 4 hingga 6 Mei depan sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Menurut Lisa, biarpun berdepan tekanan ketika melaksanakan kerja di sebalik tabir, dia tidak gentar mengharunginya kerana cabaran seperti itu membantunya untuk bergerak dengan lebih pantas.

"Saya bukan diva, jauh sekali primadona. Setiap tanggungjawab ada tekanan tertentu, tetapi cabaran itu yang menggerakkan kita ke dapan. Sebesar manapun cabaran, kita perlu tangani dan pastikan kerja disempurnakan.

"Sejak awal memasuki industri, saya pasang niat untuk mencari rezeki dan belajar. Soal jarang lagi di depan kamera atau melakukan kerja kurang glamor bukan isu besar kerana saya selesa dengan tanggungjawab ini," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, pelakon "Sinaran" yang ditanya mengenai pembubaran kumpulan KRU berkata sebagai isteri kepada salah seorang anggota kumpulan tersebut iaitu Yusry Abdul Halim, dia berasa sedih dengan keputusan mereka, namun dia tetap memberikan sokongan tidak berbelah-bagi.

KRU yang dianggotai oleh tiga beradik iaitu Yusry Abdul Halim, Datuk Normal Abdul Halim dan Edry Abdul Halim baru-baru ini telah mengejutkan industri muzik apabila mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas selesai konsert ulangtahun ke-25 mereka bulan depan.

(Sumber foto: Lisa Surihani Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Sinaran (Melayu) (26 November 2015)
Cicakman 3 (Melayu) (12 Mac 2015)
Suamiku Encik Perfect 10 (Melayu) (22 Januari 2015)