Buletin
"Mak Cun" bakal diangkat ke layar perak dan animasi


Tarikh disiarkan: 7 Ogos 2018


Erma Fatima mahu terus lebarkan jenama Mak Cun ke serata dunia.

7 Ogos – Pengarah dan pelakon utama drama bersiri popular "Mak Cun", Erma Fatima mendedahkan bahawa dia mempunyai perancangan terbaru untuk melebarkan lagi jenama siri tersebut dengan mengangkat ia menjadi projek filem dan animasi pula selepas ini.

"Alhamdulillah, drama "Mak Cun" mendapat sambutan hangat terutama daripada orang kampung. Selepas kejayaan drama bersiri, impian saya memang untuk mengangkat "Mak Cun" ke projek animasi dan filem pula. Namun ia masih dalam perancangan.

"Setakat ini, permainan digital terkini yang diadaptasi daripada drama bersiri TV "Mak Cun" iaitu Mak Cun's Adventure juga mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Aplikasi Mak Cun membabitkan kerjasama syarikat saya dengan Media Prima Berhad," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Erma turut memberitahu bahawa drama bersiri itu akan diteruskan dan bakal memasuki musim kelima tidak lama lagi.

Dalam siri terbaru ini kami akan menyaksikan jalan cerita yang akan memberi tumpuan kepada dua cucu Mak Cun.


Ia dijangka akan mula ditayangkan pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Erma berkata jenama Mak Cun akan sekali lagi ke New York, Amerika Syarikat bagi menyertai misi Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) dengan menganjurkan Minggu Fesyen New York.

Untuk persembahan fesyen kali ini, Erma akan bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan iaitu Ashraff yang mana mereka akan memperkenalkan 12 rekaan terbaru Mak Cun.

Peniagawati akan mengambil slot satu hari pada 7 September nanti dalam acara Couture New York Fashion Week (CNYFW) yang akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Times Square dan sesi 'ready to wear' di pentas NYC@LIVE pada 13 September nanti.

(Sumber foto: Karangkraf)

Penulis: Ashraf Nasser