Buletin
Nabila Huda: Utamakan bakat dari jumlah pengikut di laman sosial


Tarikh disiarkan: 29 Januari 2018


Nabila Huda akui 'stress' tengok lakonan pelakon baru.

29 Jan – Setelah beberapa pelakon senior tempatan pernah menyuarakan kebimbangan dengan trend terbaru yang mana pihak penerbit dan stesen televisyen yang lebih memilih untuk mengambil pelakon berdasarkan rupa dan jumlah pengikut di laman sosial, kini giliran Nabila Huda pula.

Nabila yang merupakan salah seorang pelakon terhebat ketika ini, berkata dia tidak iri hati dengan rezeki pelakon-pelakon baru yang terus mendapat peranan utama dalam drama mahu pun filem, sebaliknya bimbang dengan impak yang ditinggalkan memberikan kesan kepada semua pihak.


"Sebagai orang yang sudah berpengalaman, nasihat saya adalah agar mereka bersedia sebelum menerima apa-apa tawaran. Jika tak mampu untuk menghayati watak, bagaimana pula untuk menghidupkan sesebuah naskhah? Sebab itu kena ada ilmu lakonan terlebih dahulu," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Tambah pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba" ini, tidak muda untuk bergelar seorang pelakon yang hebat sekiranya mereka sering ambil mudah soal kualiti yang mana ia sepatutnya menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan situasi berlakon dengan pelakon baru yang diberikan peranan utama namun tidak mampu galas watak tersebut.

"Ada kala pelakon lama hadir ke set dengan semangat berkobar-kobar untuk memberikan yang terbaik, tetapi pelakon baru yang diberikan peranan besar ini tidak pula beri impak malah menjadi set sebagai tempat belajar pula."

Atas sebab trend terbaru yang lebih mengutamakan rupa wajah dan jumlah pengikut seseorang pelakon berbanding mutu lakonan mereka, ini telah membuatkan industri lakonan masih lagi berada di tahap statik seperti dahulu.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Nabila bakal muncul dengan sebuah filem terbaru berjudul "Makrifat Cinta" arahan Kamal G.

Dalam filem tersebut, Nabila akan bergandingan dengan pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Nora Danish, Datuk Aznil Nawawi dan Sabrina Ali.

"Makrifat Cinta" akan menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 1 Februari ini.

(Sumber foto: Nabila Huda Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide