Buletin
Nabila Huda teruja dapat terlibat dengan "Folklore: Toyol"


Tarikh disiarkan: 7 September 2018


Selepas ini Nabila Huda mahu berehat dari dunia lakonan buat seketika.

7 Sep – Pelakon Nabila Huda teruja mendapat peluang untuk melebarkan sayapnya dalam dunia lakonan apabila dia bakal muncul dengan sebuah naskhah terbaru HBO Originals menerusi "Folklore: Toyol".

Menurut Nabila, peluang yang diberikan ini merupakan pencapaian terbaiknya apabila lakonannya kini dapat ditonton oleh penonton di seluruh Asia.

"Saya tidak sabar nak tengok wajah sendiri di saluran HBO kerana sebelum ini kita selalu tengok filem-filem luar negara sahaja," ujarnya yang ditemui pada Pelancaran HBO Originals "Folklore" di Kuala Lumpur semalam.

Dalam drama tersebut, Nabila akan membawa watak sebagai seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam.

"Folklore: Toyol" berkisarkan tentang seorang Ahli Parlimen di sebuah pekan nelayan meminta bantuan wanita misteri yang mempunyai kuasa ilmu hitam untuk menyelamatkan pekannya yang dilanda masalah ekonomi. Wanita itu berjaya menyelesaikan semua masalah Ahli Parlimen itu yang mana mereka kemudian telah bercinta. Bagaimanapun, wanita itu mempunyai rahsia hitam yang mengancam untuk menghancurkan hidup lelaki itu.


Selain Nabila, drama ini turut dibintangi oleh Bront Palarae dan Redza Minhat.

Drama bersiri "Folklore" ini menampilkan enam siri kisah seram dari enam buah negara Asia yang mana ia akan disiarkan secara rasmi pada 7 Oktober ini.

Naskhah Malaysia arahan Ho Yuhang itu akan mula ditayangkan pada 4 November pada pukul 10pm di HBO (saluran 411/431).

Sementara itu, Nabila mengakui berasa terkejut dan terharu apabila melihat watak lakonannya sebagai Maria dalam "Munafik" muncul dalam "Munafik 2" ketika dia menonton filem terbaru arahan Syamsul Yusof di pawagam baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Nabila berkata dia mahu berehat seketika dari dunia lakonan kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga serta pergi bercuti ke Itali selama tiga minggu.

Dia bagaimanapun berkata sekiranya ada tawaran lakonan yang hanya memerlukan dia berada di lokasi penggambaran dalam tempoh seminggu, dia akan terima.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
Rempit Sampai Langit (Melayu) (23 November 2017)
Makrifat Cinta (Melayu) (1 Februari 2018)





Ticket Pricing Guide