Namron gembira "One Two Jaga" boleh ditonton di seluruh dunia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Namron gembira "One Two Jaga" boleh ditonton di seluruh dunia

Penulis: Ashraf Nasser


Namron kini sedang sibuk dengan filem terbarunya yang akan ditayangkan pada tahun depan.

19 Dis – Pengarah dan pelakon Namron meluahkan rasa gembiranya apabila filem terbaru arahannya iaitu "One Two Jaga" bakal ditonton oleh penonton dari seluruh dunia selepas filem itu berjaya tembusi platform perkhidmatan strim video terbesar, Netflix, sejak 1 Disember lalu.

"Pihak kami bertemu dengan wakil Netflix untuk kerjasama dan Alhamdulillah mereka tertarik dengan filem itu dan bersetuju untuk menjadikan ia sebagai 'Netflix Original Movies'.

"Pada saya ia satu kejayaan kerana Netflix sangat popular sekarang, malah ia sudah pun mula mendapat ulasan daripada pengkritik dari Amerika selain respons penonton yang positif di luar negara," ujarnya yang dipetik dari mStar.

Dalam pada itu, Namron turut bersyukur apabila filemnya menjadi salah sebuah dari 10 buah filem tempatan diberikan penghargaan atas pencapaian di peringkat global bagi tahun 2018 ketika pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX).

Antara filem lain yang turut mendapat penghargaan itu adalah "Redha", "Adiwiraku", "Guang", "Interchange" dan "A House of Happiness".

Namron berkata penghargaan yang diterimanya sedikit sebanyak akan menaikkan semangat untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti pada masa akan datang.

"One Two Jaga" yang berkisarkan tentang segelintir polis korup dibintangi oleh Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Chew Kin Wah, Iedil Putra dan ramai lagi.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Namron kini sedang sibuk dengan proses akhir filem terbarunya berjudul "Masterpiecisan".

Ia dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada tahun hadapan.

(Sumber foto: Namron Instagram)

Cinema Online, 19 Dis 2018

Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Paskal The Movie (Malay) (27 Sep 2018)
Redha (KKIFF) (Malay) (22 Jul 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan