Namron kecewa "One Two Jaga" tak dapat sambutan penonton | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Namron kecewa "One Two Jaga" tak dapat sambutan penonton

Penulis: Ashraf Nasser


Salah satu babak dalam "One Two Jaga".

7 Sep – Pengarah dan pelakon filem "One Two Jaga", Namron meluahkan rasa kecewanya apabila filem terbaru arahannya tidak mendapat sambutan daripada penonton.

Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan meluahkan perasaannya itu di laman sosial Twitter miliknya dengan berkata sokongan yang ditunjukkan di media sosial untuk tonton filem arahannya hanyalah sebuah kata-kata manis saja.

"Salam, kalau belek di media sosial banyak yang cakap sokong, sudah lama tunggu, filem wajib tonton dan macam-macam lagi tapi panggung kosong tiada orang. Baru saya sedar terpedaya dengan kata-kata manis.

"Takpa lepas ini saya buat filem lucah pula mungkin itu yang rakyat Malaysia mahu," tulisnya.

Dalam pada itu, Namron juga berkata dia menghasilkan sesebuah filem bukan kerana mahukan pujian di media sosial atau menang anugerah, sebaliknya dia buat filem untuk orang ramai ke panggung.

"Kali ini saya buat filem yang mudah untuk dihadam sehingga peringkat sekolah rendah. Jika saya sanggup buat filem ringan bukan filem berat semata-mata nak kongsi cerita saya, tapi orang ramai masih tak terpanggil ke panggung saya tak tahu lagi apa yang orang ramai mahu dari saya."

Filem terbitan Pixel Play ini berkisah tentang permasalah rasuah yang berlaku di kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan pendatang asing tanpa izin.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Chew Kin Wah, Iedil Putra, Timothy Castillo, Ario Bayu, Asmara Abigail dan ramai lagi.

Cinema Online, 07 Sept 2018

Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Redha (KKIFF) (Malay) (22 Jul 2017)
Dukun (Malay) (05 Apr 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan