Buletin
Namron kecewa namanya ditolak stesen TV


Tarikh disiarkan: 2 Mei 2018


Namron tertanya-tanya mengapa namanya ditolak oleh pihak stesen TV berkenaan.

2 Mei – Pelakon Namron tampil mendedahkan bahawa namanya telah ditolak oleh sebuah stesen televisyen untuk menjayakan sebuah telefilem Hari Raya Aidilfitri.

Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, mengakui berasa kecewa dan tertanya-tanya mengapa namanya digugurkan pihak stesen TV berkenaan.

"Kali terakhir adalah lima tahun lalu apabila saya berlakon drama bersiri arahan Feroz Kader untuk terbitan stesen berkenaan. Selepas itu terus senyap, tiada sebarang tawaran yang muncul.

"Saya dimaklumkan oleh produksi telefilem bahawa nama ditolak. Patutlah sudah lama saya tidak berlakon drama yang diterbitkan stesen terbabit. Saya cuma ingin tahu mengapa saya gagal dapat tawaran itu," ujarnya yang dipetik dari Malaysiakini.

Pelakon berusia 48 tahun ini menerima nasib sama dengan rakan seperjuangannya iaitu Amerul Affendi yang sebelum ini turut menyuarakan rasa kecewa apabila namanya sering ditolak oleh stesen TV berikutan tidak mempunyai rupa paras kacak.

Dalam pada itu, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29 dalam satu postingnya di Twitter berkata; "Kita ada kelas, Merul. Jangan risau."

Masalah ini sebenarnya sudah lama berlaku dan sehingga kini ia masih lagi tidak selesai kerana sifat segelintir pihak stesen televisyen kini lebih mementingkan rupa paras dan populariti seseorang artis itu berbanding bakat lakonan.

Diharap perkara ini dapat diatasi dengan segera supaya setiap pelakon diberi peluang untuk berlakon tanpa hanya bersandarkan kepada rupa paras.

(Sumber foto: Glam Lelaki Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Redha (KKIFF) (Melayu) (22 Julai 2017)
Dukun (Melayu) (5 April 2018)





Ticket Pricing Guide