"One Two Jaga" akan terus menjelajah festival filem antarabangsa | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"One Two Jaga" akan terus menjelajah festival filem antarabangsa

Penulis: Ashraf Nasser


Bront Palarae bersama pengarah Namron dan barisan pelakon "One Two Jaga".

30 Ogos – Penerbit filem Bront Palarae memberitahu filem terbarunya iaitu "One Two Jaga" akan terus menjelajah ke beberapa buah lagi festival filem antarabangsa dalam masa terdekat ini.

Menurut Bront, selepas ia ditayangkan di seluruh Malaysia filem arahan Namron ini akan ditayangkan di Focus on Asia Fukuoka International Film Festival 2018.

"Festival filem itu akan berlangsung dari 14 September sehingga 23 September ini yang mana kemudian akan ke Festival Filem Warsaw dan beberapa festival lagi yang akan diumumkan kelak," ujarnya yang ditemui selepas tayangan pratonton "One Two Jaga" di TGV One Utama, sebentar tadi.

Ditanya samada dia menghasilkan filem ini kerana mahu membawa ia ke festival filem, Bront menafikan perkara tersebut sebaliknya berkata ketika mereka dalam proses menghasilkan filem ini tidak terlintas langsung mahu bawa ke festival filem.

"Kami buat filem ini bukan untuk sasarkan festival filem sebaliknya kami mahu hasilkan sebuah naskhah yang berbeza iaitu mengenai isu taboo iaitu mengenai sisi gelap pasukan beruniform iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM)."

Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem ini, Bront mendedahkan mereka berdepan cabaran pada awal apabila skrip yang dihantar ke Bukit Aman ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Namun selepas pihaknya membuat pertemuan dan perbincangan mengenai naskhah ini pihak PDRM akhirnya bersetuju, malah turut membantu sepanjang proses pembikinan iaitu bagi memastikan pelakon yang membawa watak sebagai anggota polis mengikut SOP (Standard Operating Procedure).

Dalam pada itu, pengarah filem ini iaitu Namron berkata dia sanggup mengambil risiko walaupun filem ini dirasakan tidak akan lulus penapisan, namun bersyukur apabila ia berjaya mendapat kelulusan dari pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Sebelum ini beberapa buah filem saya yang mengangkat isu-isu sensitif mengenai masyarakat negara diharamkan, namun ia sedikit pun tidak membuatkan saya putus asa. Saya sangat bersyukur apabila filem ini diluluskan untuk ditayangkan."

Filem terbitan Pixel Play dan Jazzy Pictures ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Ario Bayu, Asmara Abigail, Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Timothy Castillo dan ramai lagi.

"One Two Jaga" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 6 September ini.

Cinema Online, 30 Ogos 2018

Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan