"One, Two, Jaga" bakal ditayangkan di festival filem di Itali | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"One, Two, Jaga" bakal ditayangkan di festival filem di Itali

Penulis: Brendan Kwang


Barisan pelakon dan tenaga kerja "One, Two, Jaga".

8 Mac – Penerbit filem "One, Two, Jaga", Bront Palarae memberitahu bahawa filem terbarunya bakal mengadakan Tayangan Perdana Dunia di Festival Filem Udine East di Itali terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan di Malaysia.

"Tayangan Perdana Dunia pertama filem ini akan diadakan pada April ini di Itali. Ia akan menjadi tayangan pertama, tetapi sebelum itu kami telah menunjukkan filem ini kepada Dato' Azmir daripada FINAS kerana dia mahu melihatnya walaupun filem ini masih belum siap.

"Dia hanya bimbang dengan jalan cerita memandangkan ia menyentuh isu sensitif," ujar Bront yang ditemui pada majlis sidang media "One, Two, Jaga" baru-baru ini.

Selain di Itali, Bront turut memberitahu filem yang diarahkan oleh Namron ini akan turut ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa lain.

Tambahnya lagi, fokus mereka kini adalah untuk memastikan tayangan perdana dunia filem ini akan disambut baik sebelum ia ditayangkan di Malaysia pada bulan September depan.

Malah filem ini juga berkemungkinan akan menjelajah ke Shanghai, China.


Bront Palarae berkongsi harapan dan sasaran mereka terhadap filem "One, Two, Jaga".

Bercerita lanjut mengenai filem terbitan Pixel Play ini, Bront turut mengakui bukan mudah untuknya menghasilkan filem ini.

"Maksud "bukan mudah" tidak kerana kos produksi atau teknikal, sebaliknya bimbang dituduh menuding jari kepada satu pihak sahaja mengenai isu ini. Tetapi itu bukan niat kami, sebaliknya ia bersifat 'neutral' dan tidak mahu menyalahkan siapa-siapa."

"One, Two, Jaga" berkisarkan mengenai seorang anggota polis baru yang mendapati pegawai atasannya korup.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Namron, Amerul Affendi, Iedil Putra dan ramai lagi.

Selain filem, naskhah ini akan turut diangkat ke novel yang akan ditulis oleh Sahidzan Salleh yang kini dalam proses pembikinan dan dijangka akan diriliskan pada Julai ini.

Cinema Online, 08 Mac 2018

Filem Berkaitan:
Terbaik Dari Langit (Melayu) (25 Dis 2014)
Pengabdi Setan (Indonesia) (23 Nov 2017)
Jwanita (Melayu) (24 Sept 2015)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan