Buletin
Pengarah filem tempatan menang anugerah di Amerika Syarikat


Tarikh disiarkan: 9 Mei 2018


Dharius Zulkefli teruja dapat rangkul anugerah berprestij.

9 Mei – Pengarah filem tempatan, Dharius Zulkefli telah mengharumkan nama Malaysia apabila filem arahannya berjudul "The Selfish Ones" telah berjaya merangkul anugerah di Festival Filem Manhattan di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Filem tersebut telah diangkat sebagai pemenang bagi kategori Drama Keluarga Terbaik.

"Saya perlu buktikan kemampuan artistik saya adalah suatu yang unik. Menjadi warga asing, apa yang penting Malaysia memberikan elemen unik yang sebenar terhadap sesuatu subjek dan saya sampaikan pada penonton Amerika dan Barat untuk berhibur," ujarnya yang dipetik dari Astro Awani.

Menurut Dharius, sebagai seorang pembikin filem dia tidak pernah gentar untuk gagal kerana baginya ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk setiap karyawan filem.


Malah sebagai seorang pembikin filem, masanya sering dihabiskan dengan menonton filem-filem lama dan baru tidak kira bagus atau tidak bagus kerana pasti akan ada perkara yang boleh dipelajari daripada sesebuah filem itu.

Ini bukanlah kali pertama Dharius memenangi anugerah antarabangsa, kerana sebelum ini dia pernah menang anugerah Suntingan Terbaik untuk filem pendek berjudul "Kun Fa Yakun" pada Festival Filem Antarabangsa (UIFF).

(Sumber foto: Astro Awani Twitter)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide