"Polis Evo 2" kutip RM10 juta dalam tempoh 5 hari | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Polis Evo 2" kutip RM10 juta dalam tempoh 5 hari

Penulis: Ashraf Nasser


Mampukah "Polis Evo 2" atasi kutipan filem "Munafik 2".

28 Nov – Filem aksi "Polis Evo 2" terus cemerlang apabila kini sudah berjaya mengutip RM10 juta selepas hanya lima hari tayangannya di pawagam di seluruh negara.

Berita gembira itu dikongsi oleh salah seorang pelakon utama filem tersebut, Shaheizy Sam di laman sosial Instagram miliknya.

"Hasil sokongan anda semua, "Polis Evo 2" meraih kutipan melebihi RM10 juta dalam lima hari tayangan.

"Terima kasih boh! Jom kita ke balai pawagam yang berdekatan dan semarakkan semangat "Polis Evo 2"," tulisnya.

Terdahulu, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew ini telah mencatat rekod baru apabila berjaya mendapat RM3.5 juta pada hari pembukaan sekaligus menewaskan dua buah filem terdahulu iaitu "Munafik 2" dan "Hantu Kak Limah" yang masing-masing mengutip RM2 juta dan RM1.8 juta pada hari pembukaan.

Selain Malaysia, filem terbitan Astro Shaw dan SCM ini turut ditayangkan di beberapa negara jiran seperti Brunei, Singapura dan juga Indonesia.

Filem yang mula ditayangkan sejak 22 November lalu ini berkisarkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani dalam misi menumpaskan sindiket dadah, namun ia bertukar menjadi sebaliknya apabila mereka berdepan dengan situasi getir selepas sekumpulan pengganas menawan sebuah kampung dan menjadi penduduk di situ sebagai tebusan.

Selain Sam dan Zizan Razak, "Polis Evo 2" turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air dan dari negara jiran antaranya Hairul Azreen, Erra Fazira, Rusdi Ramli, Hasnul Rahmat, Syafie Naswip, Raline Shah, Mike Lucock, Jeff Catz dan ramai lagi.

(Sumber foto: Shaheizy Sam Instagram)

Cinema Online, 28 Nov 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)


Waktu Tayangan