Buletin
Filem "Qhaliq" ditunda bagi beri laluan kepada filem "Dukun"


Tarikh disiarkan: 5 April 2018


Ahmad Idham merupakan antara individu yang sudah lama menanti tayangan filem "Dukun".

5 Apr – Penerbit dan pengarah filem Ahmad Idham telah mengambil keputusan untuk menunda filem terbaru arahannya berjudul "Qhaliq" bagi memberi laluan kepada tayangan filem "Dukun".

Filem arahan Ahmad Idham itu sepatutnya ditayangkan bermula hari ini (Khamis), namun dia menarik balik tayangan filemnya itu sebagai tanda sokongan kepada filem arahan Dain Said.

"Saya di sini ingin menjelaskan yang agenda saya bukan ingin memberi sebarang halangan kepada "Dukun".

"Sebaliknya selepas berbincang dengan penerbit saya merasakan adalah lebih baik kami menangguhkan tayangan "Qhaliq" dan memberi laluan kepada "Dukun" terlebih dahulu sebagai tanda sokongan," ujarnya yang dipetik dari mStar.

Tambahnya lagi, dia merupakan antara salah seorang yang sudah lama menantikan tayangan filem kontroversi ini.

Filem "Dukun" terbitan Astro Shaw ini sepatutnya ditayangkan pada Disember 2006 tetapi tidak dapat berbuat demikian selepas ia diharamkan ditayangkan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).


Pengharam itu dibuat kerana filem yang diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan seorang ahli politik itu menyinggung perasaan keluarga pihak yang terbabit.

Ia dibintangi oleh Datin Umie Aida, Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Sofi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.

Terdahulu, filem kontroversi ini menjadi topik hangat oleh orang ramai selepas filem penuhnya bocor di Internet baru-baru ini, dan pada 2 April lalu pihak Astro Shaw telah membuat pengumuman mengejut mengenai tarikh tayangan filem itu selepas 12 tahun.

(Sumber foto: NST)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Qhaliq (Melayu) (14 Jun 2018)
Dukun (Melayu) (5 April 2018)