Buletin
Raja Ilya sudah menetapkan tarikh perkahwinannya


Tarikh disiarkan: 21 November 2018


Raja Ilya masih mencari tarikh sesuai untuk majlis resepsi di Malaysia.

21 Nov – Pelakon Raja Ilya yang baru mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka dari Australia telah mengesahkan bahawa mereka akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 23 Disember depan.

Menurut Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, majlis akad nikah akan diadakan di kediaman bakal mertuanya di Perth, Australia yang mana ia hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja.

Terdahulu, pelakon "Soulmate Hingga Jannah" ini telah memuat naik posting di laman sosial Instagram miliknya mengumumkan berita pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai TWG selepas enam tahun menjalin hubungan cinta jarak jauh.

"Pada mulanya kami akan berkahwin dalam tempoh dua tahun, kemudian kami berubah fikiran mahu berkahwin dalam tempoh setahun.


"Bakal suami mahu mempercepatkan perkahwinan dan memilih 23 Disember depan. Kami sudah lama bersedia, usia pun bukan muda lagi, jadi untuk apa kami tunggu lama?," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Raja Ilya bagaimanapun menafikan mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara terburu-buru kerana mereka sudah membuat perancangan sejak beberapa bulan yang lalu.

Dalam pada itu, pelakon berusia 33 tahun itu berkata majlis resepsi akan diadakan di Perth terlebih dahulu sebelum di Malaysia pada tahun hadapan.

Dia bagaimanapun belum dapat menetapkan tarikh sesuai untuk majlis resepsi di Malaysia kerana terikat dengan jadual kerja yang ketat sepanjang 2019.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Raja Ilya bakal terlibat dengan penggambaran drama "Syurgaku Tak Sempurna 2" dan sebuah program travelog di Sabah.

(Sumber foto: Raja Ilya Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Soulmate Hingga Jannah (Melayu) (16 Februari 2017)
Appalam (Tamil) (25 November 2010)
Pilot Cafe (Melayu) (30 April 2015)





Ticket Pricing Guide