Buletin
Risteena Munim tak popular kerana "kurang kontroversi"?


Tarikh disiarkan: 13 April 2018


Risteena Munim sanggup labur wangnya sendiri dalam sebuah syarikat produk kecantikan.

13 Apr – Pelakon Risteena Munim mengakui namanya masih lagi belum popular di kalangan peminat kerana dirinya kurang terpalit dengan sebarang kontroversi.

Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuknya terus aktif dalam industri seni, sebaliknya dia sendiri mengambil pendekatan untuk cuba mengelak dirinya terpalit dari sebarang kontroversi.

Ini kerana pelakon "Girlfriend Kontrak" ini tidak mahu namanya dilonjakkan hanya kerana kontroversi membabitkan dirinya.


"Sebenarnya ada pihak yang memberi cadangan supaya saya mencipta kontroversi agar nama saya disebut-sebut netizen. Tetapi saya tidak suka melakukannya. Bagi saya, kenapa perlu cipta sesuatu untuk naikkan nama.

"Saya lebih selesa merendah diri seperti sekarang. Biar orang tidak berapa kenal nama saya, tapi yang penting rezeki tawaran berlakon masih ada," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Dalam pada itu, selain berlakon pelakon berusia 28 tahun ini kini sudah mula menceburi bidang perniagaan apabila dia kini bergelar sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd, iaitu jenama yang mengeluarkan produk kecantikan wajah.

Jika sebelum ini dia hanya dilantik untuk menjadi duta produk, kini dia melabur sendiri wangnya dalam perniagaan, sekaligus merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang ahli perniagaan.

Dengan status sebagai seorang selebriti, Risteena berharap ia dapat membantu perniagaannya berkembang dengan meluas.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya dia bakal muncul dengan sebuah filem mengenai pasukan bomba iaitu "Qhaliq" bergandingan dengan Hairul Azreen.

Filem tersebut sepatutnya sudah ditayangkan pada 5 April lalu, tetapi pengarahnya, Ahmad Idham telah menarik filem itu disaat akhir bagi memberi laluan kepada tayangan filem "Dukun".

"Qhaliq" dijangka akan ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 14 Mei depan.

(Sumber foto: Risteena Munim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Qhaliq (Melayu) (14 Jun 2018)
Girlfriend Kontrak (Melayu) (24 September 2015)
Hantu Wangan (Melayu) (22 Mac 2018)





Ticket Pricing Guide