Buletin
Sangeeta teruja bergandingan dengan pelakon hebat dalam "Proksi"


Tarikh disiarkan: 23 Mac 2018


Sangeeta Krishnasamy akui terkejut apabila ditawarkan watak utama dalam filem berskala besar ini.

23 Mac – Pelakon Sangeeta Krishnasamy teruja apabila dia bakal muncul dengan sebuah filem Melayu terbarunya berjudul "Proksi", yang mana ia dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon besar tanah air.

Antara pelakon tersebut adalah Bront Palarae, Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor dan Faizal Hussein.

"Saya bersyukur rezeki saya dalam pasaran filem Melayu semakin banyak. Mungkin kerana penggiat seni mula mengenali siapa diri saya.


"Selepas filem "Adiwiraku", saya ada menjangkakan penglibatan saya akan disedari oleh peminat filem Melayu. Namun tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan diberikan watak utama dalam sebuah filem bajet besar seperti "Proksi"," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Pelakon berusia 33 tahun berkata dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju dengan tawaran filem ini kerana watak sebagai Elle, sebagai seorang penjenayah siber mampu mencabar kemampuan lakonannya.


Sangeeta bersama Ashraf Sinclair dan Bront Palarae ketika berada di set penggambaran "Proksi".

Sangeeta mula mendapat perhatian dalam industri filem Melayu selepas kemunculannya dalam filem Melayu sulungnya berjudul "Adiwiraku" yang telah berjaya mencipta kejayaan apabila diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM 29).

Bukan filem tersebut sahaja berjaya merangkul anugerah, malah lakonannya juga mendapat pengiktirafan apabila Sangeeta dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di FFM 29 dan di Anugerah Pengkritik Filem 2017.

(Sumber foto: Sangeeta Krishnasamy Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Adiwira Ku (Melayu) (9 Mac 2017)



Ticket Pricing Guide