Scha Alyahya bakal muncul dengan "Bikin Filem" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Scha Alyahya bakal muncul dengan "Bikin Filem"

Penulis: Ashraf Nasser


Scha Alyahya berdepan cabaran bawa watak berat sebagai Zarina.

6 Ogos – Selepas bertahun tidak muncul dengan filem, pelakon dan pengacara popular Scha Alyahya akhirnya bakal kembali beraksi di layar perak menerusi filem "Bikin Filem".

Kali terakhir Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya muncul dengan filem, adalah menerusi filem "Dampak" dan "Awan Dania The Movie" kira-kira lima tahun lalu.

"Saya sudah lama tidak keluar dengan filem. Jadi, saya merasakan, perlu ada sesuatu yang lain daripada lain khususnya daripada aspek penampilan fizikal. Atas sebab itu jugalah saya membuat keputusan untuk berambut pendek dalam filem ini.

"Selepas saya beritahu pengarah hasrat itu, rupa-rupanya dia juga mahukan saya imej sebegini," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Scha yang membawa watak sebagai Zarina dalam filem arahan Mohd. Latiff Azmi ini menyangkal dakwaan kononnya dia sanggup mengubah imej demi filem kerana mendapat bayaran lumayan.

Bercerita lanjut mengenai filem ini, isteri kepada pelakon dan pengacara Awal Ashaari mendedahkan wataknya agak berat apabila dia perlu banyak bermain dengan emosi.

Itu adalah cabaran yang agak besar buatnya kerana dia perlu pastikan permainan emosinya itu dapat dirasai oleh penonton.

"Bikin Filem" diangkat dari kisah sebenar yang terjadi dalam industri perfileman tempatan khususnya kepada mereka yang terdiri daripada penggiat seni hiburan.

Selain Scha, filem terbitan Resilience Studios Sdn Bhd ini turut menampilkan barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Erra Fazira, Sherry Alhadad, Azhan Rani, Sharifah Sakinah, Mark Adam, Azhar Sulaiman, Amerul Affendi, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

(Sumber foto: Scha Alyahya Instagram)

Cinema Online, 06 Ogos 2018

Filem Berkaitan:
Awan Dania The Movie (Melayu) (14 Mac 2013)
Dampak (Melayu) (19 Sept 2013)
Papadom 2 (Melayu) (12 Dis 2013)


Waktu Tayangan