Buletin
Syamsul Yusof tidak akan arah filem berdua


Tarikh disiarkan: 31 Mac 2018


Syamsul Yusof tidak akan bekerjasama dengan pengarah lain dalam sebuah filem sama.

31 Mac – Pengarah filem berbakat besar Syamsul Yusof memberitahu bahawa dia berpegang kepada prinsip bahawa hanya seorang sahaja pengarah untuk mengarah sesebuah filem.

Pengarah dan pelakon itu berkata demikian apabila ditanya samada dia terbuka untuk bekerja dengan pengarah lain termasuk adiknya sendiri dalam sebuah filem.

"Saya memang tak percaya sesebuah filem itu boleh diarahkan oleh dua individu. Nama pun pengarah, mestilah ada seorang yang akan bersikap dominan atau memiliki kuasa veto.


"Kalau ditanya siapa antara kami yang bersikap dominan, saya akan cakap kami semua memiliki sikap itu ketika duduk di kerusi pengarah, termasuklah ayah saya, Datuk Yusof Haslam," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Tambahnya lagi, dia tidak merasa ada kemungkinan langsung dia akan berbuat demikian kerana setiap pengarah mempunyai buah fikiran tersendiri termasuk dalam berkarya.

Berikutan itu, pengarah "Munafik" berkata tidak timbul isu sombong atau saling memperlekeh hasil kerja tangan siapa lebih bagus, selain mahu mengelak wujudnya pertembungan idea.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, pengarah "KL Gangster" ini baru sahaja muncul dengan filem "KL Special Force" arahan adiknya Syafiq Yusof yang kini sudah mendapat kutipan lebih RM9 juta.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan filem terbaru arahannya berjudul "Munafik 2" yang kini sedang menunggu tarikh tayangan.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)
KL Gangster (Melayu) (9 Jun 2011)
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)