Tonton "Polis Evo 2" dahulu sebelum buat andaian | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Tonton "Polis Evo 2" dahulu sebelum buat andaian

Penulis: Ashraf Nasser


Penerbit dan pengarah bersama barisan pelakon yang hadir pada
malam gala "Polis Evo 2".

15 Nov – Belum pun ditayangkan di pawagam, filem aksi paling dinanti-nantikan pada tahun ini iaitu "Polis Evo 2" sudah terpalit dengan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mahu memboikot filem tersebut selepas mendakwa ia memberi imej buruk terhadap agama Islam.

Menafikan perkara berkenaan, penerbit eksekutif Astro Shaw Dato' Khairul Anwar Salleh meminta peminat supaya tonton filem ini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.

"Isu ini timbul sejak treler rasmi filem ini diriliskan. Bagi saya treler tidak menggambarkan keseluruhan filem ini, oleh itu saya sarankan kepada peminat supaya tonton filem ini terlebih dahulu sebelum buat andaian.

"Apa yang kami ingin tonjolkan dalam filem ini adalah berdasarkan keadaan sebenar yang berlaku yang mana ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama agama untuk melakukan perkara jahat kononnya berjuang atas nama Islam," ujarnya pada sidang media selepas tayangan "Polis Evo 2" yang berlangsung di MBO Starling Mall semalam.


Tiga pelakon utama Shaheizy Sam, Raline Shah dan Zizan Razak.

Tambah Khairul lagi, dia tidak merasakan jalan cerita yang ditampilkan tidak sesuai kerana ia mendapat kebenaran daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang potongan kerana mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Terdahulu, LPF dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa filem "Polis Evo 2" didapati tidak ada percanggahan dengan peruntukan garis panduan daripada pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan diberi keputusan Lulus Bersih (LB) dengan klasifikasi P13 untuk tayangan pawagam.

"Polis Evo 2" berkisarkan tentang dua pegawai polis Inspektor Sani dan Inspektor Khai yang dalam misi untuk menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sebuah pulau, namun ketika berada di sana, mereka terperangkap dengan insiden serangan kumpulan pengganas yang menawan dan menjadikan penduduk pulau berkenaan sebagai tebusan.

Filem terbitan Astro Shaw, SCM ini dibintangi oleh barisan bintang dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura, dan Indonesia.

Antaranya adalah Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Syafie Naswip, Erra Fazira, Jeff Catz, Fir Rahman dan ramai lagi.

"Polis Evo 2" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 22 November ini.

Cinema Online, 15 Nov 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)


Waktu Tayangan