Buletin
Umie Aida kecewa "Dukun" terus disebar di Internet


Tarikh disiarkan: 17 April 2018


Umie Aida harap peminat akan menyokong usaha memboikot cetak rompak demi menyelamatkan industri filem tempatan.

17 Apr – Pelakon utama filem "Dukun", Datin Seri Umie Aida meluahkan rasa kesal dan kecewa terhadap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan filem tersebut di laman sosial Facebook walaupun filem kontroversi itu masih lagi ditayangkan di pawagam.

Umie atau nama sebenarnya Datin Seri Umi Khalsum Rahmad Ali kemudian bertindak menyindir pihak tersebut dengan meminta mereka terus menyebarkan filem itu.

"Sejak dua tiga hari ini ramai buat 'party' filem "Dukun" di Facebook! Apakah keseronakan yang anda dapat dengan buat tayangan filem ini sedangkan "Dukun" masih ditayangkan di pawagam?

"Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau itu satu kepuasan cara anda menonton sebuah filem maka teruskan. Teruskan, sebarkan lagi... sebar sebanyak mungkin! Kongsi sebanyak mungkin, jual CD sebanyak mungkin... Enjoy rough cut and no ending! Terima kasih kerana membunuh industri filem," ujarnya di laman sosial Instagram miliknya.

 


Umie Aida menyindir pihak tidak bertanggungjawab yang sebar filem "Dukun" di Internet secara haram.

Filem arahan Dain Said ini ditayangkan di pawagam sejak 5 April lalu selepas 12 tahun terperap berikutan ia diharamkan sebelum ini.

Terdahulu, sebelum filem ini ditayangkan secara rasmi, ia telah pun bocor di Internet namun ia tidak menjejaskan kutipan filem ini apabila ia telah berjaya mengutip RM6.2 juta setakat ini.

Selain Umie Aida, filem "Dukun" turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Faizal Hussein, Namron, Hasnul Rahmat, Elyana, Bront Palarae dan ramai lagi.

(Sumber foto: Umie Aida Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)
PISAU CUKUR (Melayu) (5 November 2009)