Zizan Razak sahkan bakal berlakon dengan Raffi Ahmad | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zizan Razak sahkan bakal berlakon dengan Raffi Ahmad

Penulis: Ashraf Nasser


Zizan Razak suarakan kebimbangan terhadap penerimaan penonton di Indonesia.

14 Feb – Pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Razak mengesahkan dirinya bakal bergandingan dengan pelakon terkenal Indonesia, Raffi Ahmad dalam filem terbitan negara itu.

Ini merupakan projek pertamanya di negara seberang yang mana Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak teruja dengan peluang melebarkan sayap seninya.

"Tidak lama lagi, saya akan berlakon filem Indonesia bersama Raffi. Setakat ini, kami sudah pun memeterai kontrak projek terbabit. Cuma, tajuknya saya kurang pasti.

"InsyaAllah, penggambaran akan dijalankan dalam masa terdekat. Syukur Alhamdulillah, kerjaya seni saya melangkah setapak lagi ke hadapan dan berharap agar ia berjalan dengan lancar," ujarnya yang dipetik dari BH Online.


Dalam pada itu, bercerita lanjut bagaimana dia mendapat tawaran berlakon dari negara seberang, pelakon "Abang Long Fadil 2" ini mendedahkan dia dihubungi sendiri oleh Raffi selepas diperkenalkan oleh seorang pegawai perhubungan dari negara sana.

Walaupun teruja dengan penglibatannya dalam filem terbitan Indonesia, namun pelakon berusia 33 tahun ini berasa sedikit bimbang dengan penerimaan orang sana terhadap lakonannya.

"Apa yang penting, saya dapat melebarkan 'sayap' kerjaya ke negara seberang. Ia juga bukan soal mencari peminat semata-mata, tetapi lebih kepada langkah baharu dalam mengukuhkan kerjaya seni."

Sementara itu, Zizan bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "Polis Evo 2" yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran.

(Sumber foto: Zizan Razak Instagram)

Cinema Online, 14 Feb 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)
Abang Long Fadil 2 (Malay) (24 Aug 2017)
Mael Lambong (Malay) (21 Jun 2012)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan