Zizan dan Sam beri yang terbaik untuk "Polis Evo 2" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zizan dan Sam beri yang terbaik untuk "Polis Evo 2"

Penulis: Ashraf Nasser


Shaheizy Sam dan Zizan Razak akui berasa tekanan untuk beri yang terbaik
memandangkan peminat meletak harapan cukup tinggi untuk "Polis Evo 2".

15 Okt – Selepas kejayaan luar biasa filem pertama "Polis Evo" yang ditayangkan kira-kira tiga tahun lalu, tunjang utama filem aksi itu iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak bakal kembali bergandingan untuk sekuel "Polis Evo 2".

Sam dan Zizan akan menghidupkan semula watak asal mereka sebagai Inspektor Khai dan Inspektor Sani, yang mana kali ini mereka berdepan cabaran lebih besar apabila mereka terpaksa berdepan sekumpulan pengganas yang juga mengamalkan ajaran sesat.

Lebih memburukkan keadaan adalah kumpulan tersebut telah menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman menjayakan sekuel ini, Sam mengakui tekanan untuk filem kali ini lebih besar berikutan kejayaan "Polis Evo" pada tahun 2015.

"Bagi memastikan saya beri yang terbaik untuk "Polis Evo 2" saya membuat persiapan selama lebih setahun, dan sepanjang tempoh itu saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon drama atau filem bagi memberi tumpuan kepada filem ini.


"Dalam soal kerja saya memang cukup serius kerana orang sudah berikan kita amanah. Saya tidak kisah ambil masa lama demi filem ini. Dengan ini saya juga mahu buktikan bahawa bukan pelakon Hollywood sahaja yang sanggup buat persedian rapi," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran poster teaser "Polis Evo 2" di The Gasket Alley, Petaling Jaya baru-baru ini.

Akibat daripada tekanan mahu memastikan hasil kerjanya sempurna, ia telah menyebabkan Sam dikejarkan ke hospital apabila terkena serangan panik sehari sebelum kembali ke lokasi penggambaran, di mana dia sesak nafas dan kebas separuh badan.

Susulan itu, dia terpaksa ditahan di wad selama 12 jam sebelum dia bertekad untuk meneruskan juga penggambaran.


Barisan pelakon "Polis Evo 2".

Sementara itu, bukan Sam sahaja yang berdepan masalah seperti itu, kerana Zizan turut berdepan perkara sama apabila dia secara tiba-tiba pitam ketika penggambaran.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Zizan berkata ketika itu dia sedang melakukan babak aksi bersama Sam sebelum dia tiba-tiba rebah.

"Ketika sedang buat babak aksi di mana saya menarik Sam, saya tiba-tiba pitam. Apabila saya buka mata saya sedang memakai topeng oksigen. Perkara ini berlaku kerana saya 'over work' dan ini membuatkan saya pitam.

"Saya hubungi seorang doctor untuk bertanya mengenai keadaan saya, dan doktor tersebut menyarankan supaya saya memakan gula-gula untuk menstabilkan gula dalam badan saya dan selepas itu saya kembali meneruskan penggambaran."

Zizan turut mengakui peminat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk filem "Polis Evo 2" ini sekaligus memberikan tekanan kepada setiap pelakon untuk memberikan yang terbaik.

Selain Sam dan Zizan, filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Antara pelakon lain yang terlibat adalah Syafie Naswip, Erra Fazira, Riz Amin, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat, Jeff Catz, Fir Rahman, Raline Shah, Mike Lucock, Tanta Ginting dan ramai lagi.

"Polis Evo 2" bakal menemui penonton di seluruh negara pada 22 November ini, manakala tayangan di Indonesia pula dijangka pada bulan Disember.

Cinema Online, 15 Okt 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)


Waktu Tayangan