Zizan perlahan bidang komedi untuk fokus bidang seni lain | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zizan perlahan bidang komedi untuk fokus bidang seni lain

Penulis: Ashraf Nasser


Zizan Razak mahu fokus pada bidang lakonan filem pada tahun ini.

18 Jan – Pelakon, pelawak dan pengacara popular, Zizan Razak memberitahu dia kini sudah memperlahankan kerjayanya sebagai seorang pelawak kerana mahu memberi tumpuan kepada cabang lain dalam bidang seni.

Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, turut menyangkal dakwaan kononnya dia berbuat demikian berikutan semakin ramai pelawak baru muncul.

"Saya bukannya beralah dan mahu memberi laluan kepada mereka, sebaliknya saya mahu perlahankan sementara bidang komedi disebabkan mahu fokus kepada cabaran baru dalam kerjaya seni.

"Saya tidak lihat kehadiran mereka sebagai persaingan kerana masing-masing ada rezeki sendiri. Lagipun, seseorang pelawak itu pastinya memiliki peminat tersendiri yang sentiasa menyokong kerjaya mereka," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah pelakon "Abang Long Fadil 2" ini lagi, untuk tahun 2018 dia mahu memberi fokus kepada filem sahaja kerana ia memberikan kepuasan.

Dalam pada itu, Zizan juga memberitahu bahawa jadualnya untuk tahun ini sudah pun hampir penuh dengan penggambaran.

Bercerita lanjut mengenai perkembangannya, pelakon berusia 33 tahun itu mendedahkan dia akan muncul dengan sebuah filem terbitan dari negara seberang Indonesia, dan juga filem sekuel "Polis Evo 2" bergandingan dengan Shaheizy Sam.

Sementara itu, ditanya mengenai soal jodoh pula, Zizan tidak mahu terlalu fikir mengenai perkara itu buat masa ini kerana ia bukan keutamaannya.

Dia bagaimanapun tidak menolak jodoh sekiranya sudah 'sampai' waktunya.

(Sumber foto: Zizan Razak Instagram)

Cinema Online, 18 Jan 2018

Filem Berkaitan:
Abang Long Fadil 2 (Malay) (24 Aug 2017)
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)
Mael Lambong (Malay) (21 Jun 2012)


Waktu Tayangan