Z Lokman kecewa "Mahaguru" tak dapat sambutan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Z Lokman kecewa "Mahaguru" tak dapat sambutan

Penulis: Ashraf Nasser


Filem ini dihentam teruk oleh netizen apabila ramai yang mendakwa naskhah ini tidak layak diangkat sebagai filem.

26 Nov – Pengarah filem Z Lokman meluahkan rasa kecewanya apabila filem terbaru arahannya berjudul "Mahaguru" tidak mendapat sambutan di pawagam, berikutan terdapat segelintir penonton yang membuat penilaian terhadap filem itu menerusi treler tanpa menonton filem itu terlebih dahulu.

Menurut Lokman, filem arahannya hanya mampu bertahan seminggu sahaja di pawagam sebelum ia dihentikan tayangan.

"Ketika baru naikkan treler dan belum keluar di pawagam, orang dah bantai dan kutuk. Zaman dulu, orang tengok filem dulu baru mereka kutuk.

"Bila dah ada yang bantai, yang lain pun ikut sekali. Secara tidak langsung saya lihat, yang boleh jatuh dan bangunkan filem kini adalah netizen," ujarnya yang dipetik dari Sinar Harian.

Terdahulu, ketika treler rasmi filem ini diriliskan, ia mendapat kecaman hebat daripada netizen yang rata-rata kecewa dengan kualiti treler selain mendakwa naskhah ini tidak layak ditayangkan di pawagam kerana kualitinya sangat teruk.

Pengarah veteran berusia 73 tahun ini pernah mengarah enam buah filem berbahasa Tagalog dari Filipina.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Lokman berkata selepas ini dia bakal muncul dengan sebuah lagi filem terbaru iaitu "Awang Gerudi" yang akan ditayangkan pada 27 Disember ini.

Filem aksi komedi itu akan menampilkan Zoey Rahman, Ika Nabila, Aprena Manrose, Mustapha Kamal, Abon, Accapan, Rashidah Jaafar dan Datuk T.S. Jeffry.

Cinema Online, 26 Nov 2018

Filem Berkaitan:
Mahaguru (Malay) (15 Nov 2018)
Awang Gerudi (Malay) (27 Dec 2018)


Waktu Tayangan