Buletin
25 Hari duduk atas kerusi roda, Taapsee Pannu teruja nanti tayangan "Game Over"


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Taapsee Pannu akui rasa janggal perlu berlakon dengan kerusi roda.

12 Jun – Aktres Taapsee Pannu yang kini sibuk dengan persiapan tayangan filem terbaru berjudul "Game Over" telah berkongsi gambar dan rakaman belakang tabir filem tersebut.

Menerusi entri Instagram miliknya, Taapsee memuat naik gambar tangannya yang dipenuhi dengan kesan-kesan melecur serta kakinya yang patah.

Rata-rata peminat yang risau akan keadaan aktres tersebut menghujahkan pelbagai soalan tentang kesihatannya melalui ruang komen.

Namun segala terjawab apabila aktres itu menyatakan bahawa ia adalah sebahagian dari wataknya dalam filem itu dan kesan lecur itu hanyalah hasil solekan semata-mata.

Menerusi satu temu bual, Taapsee mengakui dia tidak pernah mengalami kecederaan patah tulang seumur hidupnya.


Tambahnya lagi, dia berasa janggal untuk menjalani penggambaran kerana hanya perlu duduk di kerusi roda dalam tempoh 12 jam sehari selama 25 hari.

Aktor filem "Pink" ini akan memainkan watak seorang gadis yang menghidapi kondisi kesihatan dipanggil Anniversary Effect.

Menurut laporan dari Pinkvilla, Taapsee sering dilihat membawa watak-watak yang serius seperti dalam filem "Saand Ki Aankh" dan "Thappad".

Dia menyatakan bahawa dia ingin cuba berlakon dalam filem yang berlainan genre serta membawa watak yang kurang serius.

Diarahkan oleh Ashwin Saravanan, filem itu akan ditayangkan dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Telugu dan Hindi.

"Game Over" akan menemui penonton di pawagam pada 14 Jun.

(Sumber artikel: Pinkvilla)
(Sumber foto: DNA India)

Penulis: Nisa Irina