Buletin
A Aida akan 'blacklist' pelakon gagal promosi drama lakonan sendiri


Tarikh disiarkan: 12 Julai 2019


A Aida minta pelakon bersikap tolak ansur dengan pihak penerbit yang sanggup
bayar mahal untuk khidmat lakonan mereka.

12 Jul – Penerbit sensasi A Aida daripada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd memberitahu dia akan menyenarai hitam mana-mana pelakon yang enggan memberi kerjasama dalam mempromosikan drama lakonan sendiri.

A Aida berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang pelakon yang enggan berbuat demikian secara percuma.

"Dalam kontrak saya memang ada menyebut perkara ini yang mana pelakon perlu mempromosi drama dalam laman sosial masing-masing. Jadi kalau ada yang tak buat, saya memang akan tegur.

"Kalau tak buat juga, saya akan senarai hitamkan terus daripada produksi. Buat apa nak bekerjasama dengan pelakon yang susah memberi kerjasama dengan kita?," soalnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambahnya lagi, pelakon perlu bersikap tolak ansur dengan pihak penerbit kerana mereka sanggup bayar mahal seperti yang diminta oleh pelakon.


Terdahulu, isu ini menjadi semakin panas selepas pelakon popular Sharifah Sakinah mengeluarkan kenyataan yang mempersoal mengapa dia perlu mempromosikan lakonan di laman sosial Instagram miliknya secara percuma.

Tambahnya lagi tindakan meminta pelakon untuk mempromosikan secara percuma seperti menindas anak seni yang menjadikan kedua-dua platform lakonan dan Instagram sebagai tempat mereka mencari rezeki.

"Apabila Instafamous keluar TV, mereka akan menerima bayaran. Tetapi apabila seorang pelakon kena buat promo di Instagram, kami terpaksa buat ia secara percuma. Nak ikutkan kontrak saya dibayar hanya untuk khidmat berlakon sahaja. Malah media sosial adalah 'kerja' sampingan yang saya jaga secara teliti selama ini," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

(Sumber foto: A Aida Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser