Buletin
Aamir Khan bakal adaptasi filem "Forrest Gump"


Tarikh disiarkan: 16 Mac 2019


Aamir Khan membeli hak penerbitan "Forrest Gump" daripada Paramount Pictures.

16 Mar - Bintang terkenal Bollywood, Aamir Khan dilaporkan bakal mengadaptasi filem Hollywood popular "Forest Gump" ke versi Hindi.

Pelakon yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada 14 Mac lalu mengumumkan filem tersebut akan diberi judul "Laal Singh Chadha".

Menurut Indian Spice, jika filem asal itu dibintangi oleh Tom Hanks sebagai peneraju, dalam versi Hindi akan menyaksikan Aamir sendiri yang akan menggalas watak utama.


Untuk menjayakan filem tersebut, Aamir kini perlu menurunkan berat badannya sebanyak 20 kilogram dalam tempoh enam bulan.

Filem ini akan diterbitkan syarikat produksinya iaitu Aamir Khan Productions bersama Viacom 18.


Aamir Khan dalam salah babak filem pecah panggungnya "Dangal".

Aamir berkata pihaknya telah membeli hak filem itu daripada Paramount Pictures dan penggambaran akan bermula pada September depan.

Buat masa ini barisan pelakon lain masih lagi belum didedahkan selain Aamir Khan sendiri, namun apa yang dapat disahkan adalah filem itu akan diarahkan oleh Advait Chandan.

"Laal Singh Chadha" dijangka akan menemui penonton pada tahun hadapan.

Filem asal "Forrest Gump" diadaptasi daripada novel Winston Groom pada tahun 1986 dengan judul sama mula ditayangkan pada 1994. Ia telah berjaya mengangkat Tom Hanks sebagai Pelakon Terbaik di Anugerah Akademi Ke-67, di mana drama komedi itu turut membawa pulang trofi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Adaptasi Lakon Layar Terbaik, Visual Efek Terbaik dan Suntingan Terbaik.

(Sumber foto: Daily Times)

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan: