Buletin
Aamir Khan akhirnya setuju bintangi filem "Mogul"


Tarikh disiarkan: 12 September 2019


Aamir Khan diangkat sebagai peneraju utama dan pembantu penerbit filem "Mogul".

12 Sep – Aktor Aamir Khan akhirnya memberi kata putus untuk menerajui filem biopik "Mogul" di mana dia turut bekerja selaku pembantu penerbit kepada Bhushan Kumar.

Selaku penerbit, Aamir telah menghubungi rakan aktornya iaitu Akshay Kumar, Varun Dhawan dan Kapil Sharma untuk menawarkan watak utama filem namun tawarannya ditolak.

"Sebenarnya ketika Bhushan menawarkan filem itu kepada saya, saya memberitahunya saya tidak mampu membawa watak Gulshanji. Dia berasa kecewa tetapi masih mahukan saya untuk menerbitkan filem ini untuknya.

"Dia sangat berkeinginan untuk saya melibatkan diri sepenuhnya dalam projek ini. Oleh sebab saya tertarik dengan skrip, jadi saya setuju untuk menerbitkannya," jelas Aamir menerusi laporan dari Hindustan Times.

Selepas bergelar penerbit, Aamir ingin berbincang mengenai uji bakat pelakon dan menawarkannya kepada Akshay. Namun Akshay telah menolaknya walaupun selepas membuat pertimbangan kedua.

Aktor itu kemudiannya menawarkannya kepada Varun Dhawan, namun turut ditolak kerana terikat dengan pelbagai projek filem lain.


Pada tahun lalu, Aamir telah menarik diri dari projek filem itu kerana pengarahnya Subhash Kapoor didakwa atas tuduhan gangguan seksual terhadap aktres Geetika Tyagi.

Bercakap mengenai isu tersebut, Aamir berkata produksi Aamir Khan Productions menentang sekeras-kerasnya dan tidak memberi toleransi kepada pihak yang melakukan gangguan seksual dan sebarang perlakuan yang berkenaan.

Disoal mengapa mengubah fikirannya terhadap filem "Mogul", Aamir berpendapat bahawa ia adalah satu langkah yang bagus dan berasa senang hati dengan keputusannya.

"Saya hanya mengikut kata hati dan kini saya rasa sesuatu yang berbeza. Mungkin akan ada pihak yang mengkritik keputusan saya tetapi saya perlu sentiasa mengikut naluri sendiri dan saya berasa senang dengannya," katanya.

(Sumber foto: People's Daily)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Penulis: Nisa Irina