Buletin
Aaron Aziz teruja dapat bintangi filem Hong Kong kedua


Tarikh disiarkan: 1 Julai 2019


Salah satu babak membabitkan Aaron Aziz dalam "Undercover Punch and Gun".

1 Jul – Pelakon popular tanah air Dato' Aaron Aziz terus melebarkan sayap lakonannya di peringkat antarabangsa apabila dia baru sahaja muncul dengan filem Hong Kong terbarunya berjudul "Undercover Punch and Gun" yang mula ditayangkan sejak 28 Jun lalu.

Ini bukanlah filem Hong Kong pertamanya kerana sebelum ini dia pernah muncul dalam filem aksi "Female Special Force" pada tahun 2016.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz berkata dia bersetuju untuk membintangi filem tersebut kerana barisan pelakon hebat selain mahu memberi kelainan dalam kerjaya lakonan. "Semuanya berjalan dengan lancar sepanjang penggambaran dan layanan diberikan kepada semua pelakon juga adalah sama rata.

"Cuma memandangkan penggambaran banyak dilakukan di pelabuhan dan banyak kontena, keadaan agak panas, sedikit kurang selesa dan ia memberikan cabaran buat saya," ujarnya yang dipetik dari Sinar Harian.

Malah dia juga tidak berdepan masalah dengan pemakanan sepanjang penggambaran kerana pihak produksi menyediakan makanan halal untuknya.

Filem arahan Philip Lui dan Frankie Tam ini dibintangi oleh ramai pelakon hebat Hong Kong seperti Philip Ng, Andy Onimal, Van Ness WuKitty Jiang, Feng Wen Juan, Aka Chio, Chi Shuai, Jia, Lam Suet dan Susan Shaw.

"Undercover Punch and Gun" berkisar mengenai seorang polis yang menyamar terpaksa bekerjasama dengan sekumpulan pasukan khas yang membanteras penyeludupan dadah.

Dalam pada itu, selain berlakon dalam filem Hong Kong, Aaron juga pernah membintangi filem sains fiksyen angkasa lepas Tamil berjudul "Tik Tik Tik" yang mana ia berjaya menjadi filem pecah panggung di sana.

(Sumber foto: Buzzing Malaysia)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: