Buletin
Nabila Huda utamakan kejujuran dalam berlakon


Tarikh disiarkan: 23 September 2019

Selepas filem "Wangi", Nabila Huda bakal muncul dengan sebuah lagi filem terbaru tahun ini.
Selepas filem "Wangi", Nabila Huda bakal muncul dengan sebuah lagi filem terbaru tahun ini.

23 Sep – Pelakon popular Nabila Huda memberitahu dia tidak pernah mengambil mudah dalam setiap watak yang dilakonkannya walaupun sudah hampir dua dekad dalam dunia seni selain namanya sudah tersenarai sebagai salah seorang pelakon tersohor tanah air ketika ini.

Menurut Nabila atau nama nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, perkara paling penting dalam menjayakan apa sahaja watak yang diberikan kepadanya adalah kejujuran dan menggunakan acuan sendiri dalam mencorak watak yang diinginkan pengarah.

"Dalam lakonan, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada rujukan. Ia akan menyukarkan kita untuk membawakan watak itu kerana kita tidak menjadi diri sendiri.


"Contoh kita mahu jadi seperti Angelina Jolie dalam filem "Salt". Semua kita tiru termasuk pergerakan tubuh. Kalau buat seperti itu, kita sendiri akan rugi kerana tidak dapat tunjukkan bakat sebenar," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah pelakon "Munafik" ini lagi, untuk menjadi seorang pelakon yang bagus, seorang pelakon perlu menyelidik dan memahami watak berkenaan terlebih dahulu sebelum masuk ke set penggambaran.

Sekiranya pelakon itu mempunyai pandangan berbeza daripada pengarah, maka perbincangan dengan pengarah perlu dilakukan supaya watak itu dapat dicorak dengan baik.

"Komunikasi dua hala sangat penting. Kita kena tanya pengarah apa yang dia inginkan daripada kita. Jangan hanya ikut kepala sendiri. Walaupun kita rasa buruk, tetapi itu yang mereka mahukan. Pengarah adalah individu yang nampak dengan jelas lakonan kita di monitor."

Dalam perkembanga lain, Nabila bakal muncul dengan filem seram terbarunya berjudul "M4M4" arahan Eyra Rahman dengan membawa watak sebagai Aini yang kini masih lagi dalam proses pos-produksi.

(Sumber foto: Nabila Huda Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
Wangi (Melayu) (5 September 2019)
Tombiruo: Penunggu Rimba (Melayu) (12 Oktober 2017)





Ticket Pricing Guide