Buletin
Aditya Roy Kapoor teruskan penggambaran "Sadak 2" semasa Deepavali


Tarikh disiarkan: 18 Oktober 2019

Aditya Roy Kapoor kini mempunyai tiga buah filem baru 2020 dalam tangan.
Aditya Roy Kapoor kini mempunyai tiga buah filem baru 2020 dalam tangan.

18 Okt – Demi meneruskan jadual penggambaran kedua bagi filem sekuel "Sadak 2", aktor Aditya Roy Kapoor terpaksa mengorbankan cuti perayaan Deepavali tidak lama lagi.

Baru-baru ini, aktor tersebut telah menamatkan jadual penggambaran pertama yang dijalankan di bandar Mumbai dan akan berangkat ke Ooty bagi jadual selanjutnya.

Menurut laporan dari Deccan Chronicle, jadual penggambaran itu dijangka akan berlangsung selama dua minggu, yang melibatkan penggambaran bagi babak-babak penting dalam filem.


Filem yang menandakan kepulangan Mahesh Bhatt dalam dunia pengarahan selepas berehat selama dua dekad itu turut menampilkan anaknya, aktres Alia Bhatt sebagai gandingan Aditya.

"Sadak 2" merupakan sekuel kepada filem "Sadak" 1991, dibintangi oleh aktor veteran Sanjay Dutt dan Pooja Bhatt yang akan kembali beraksi dalam filem tersebut.

Filem itu turut menampilkan barisan aktor lain seperti Gulshan Grober, Makarand Deshpande, Mohammed Iqbal Khan, Jisshu, Priyanka Bose serta Akshay Anand. Ia akan ditayangkan pada 10 Julai 2020.

Selain "Sadak 2", Aditya bakal membintangi dua buah lagi filem baru iaitu "Malang" yang diarahkan oleh Mohit Suri serta sebuah filem arahan Anurag Basu yang masih belum diberi judul.

(Sumber foto: Simply Amina)
(Sumber artikel: Deccan Chronicle)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide