Buletin
Ayda Jebat: Pelakon veteran perlu beri laluan pada pelakon baru


Tarikh disiarkan: 5 Disember 2019

Ayda Jebat berkata dia juga tidak akan terkecuali akan berdepan situasi sama satu hari nanti.
Ayda Jebat berkata dia juga tidak akan terkecuali akan berdepan situasi sama satu hari nanti.

5 Dis – Isu mengenai pelakon veteran rancak diperkatakan sejak kebelakangan ini, dan pelakon popular Ayda Jebat juga tidak terlepas untuk tampil mengulas isu itu berdasarkan pandangan peribadinya.

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, pelakon yang sudah lama dalam industry perlu memberi lalu kepada pelakon baru yang sedang mengecapi populariti.

"Mereka perlu akur dengan lumrah kehidupan dalam industri hiburan terutama tawaran dan bayaran lakonan yang sentiasa ada pasang dan surutnya. Zaman sudah berubah, pelakon lama perlu menerima keadaan walau siapa pun yang berada di atas sekarang.

"Artis senior pastinya pernah merasai zaman popular dan mempunyai ramai peminat, jadi sekarang berilah peluang itu kepada pelakon baru pula untuk meraih apa yang mereka pernah dapat," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah pelakon "Pinjamkan Hatiku" ini lagi, dia juga tidak akan terkecuali akan melalui perkara yang sama apabila satu hari nanti popularitinya akan merudum dan perlu terbuka menerima keadaan yang berlaku.


Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun itu berkata dia kini lebih mengutamakan kerjaya lakonan berbanding nyanyian kerana semakin meminati bidang berkenaan.

Malah Ayda juga menafikan semakin aktif berlakon kerana bayaran, jelasnya bidang nyanyian lebih lumayan berbanding lakonan.

Ayda berkata apabila sudah lama berada dalam bidang lakonan, fokusnya kini adalah lebih kepada memperbaiki mutu lakonannya dan tidak lagi mengejar populariti.

Walaupun semakin ramai pelakon baru membanjiri industri, namun ia sedikit pun tidak menjejaskannya, sebaliknya Ayda berkata selagi industri seni masih perlukan khidmatnya, pasti dia akan melakukannya.

(Sumber foto: Ayda Jebat Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pinjamkan Hatiku (Melayu) (30 November 2017)





Ticket Pricing Guide