Buletin
Akshay Kumar & Katrina Kaif sambung penggambaran di Hyderabad


Tarikh disiarkan: 14 Jun 2019


Akshay Kumar dan Katrina Kaif berganding buat kali ketujuh dalam "Sooryavanshi".

14 Jun – Selesai penggambaran di Mumbai dan Bangkok, kini Akshay Kumar dan Katrina Kaif bersedia untuk menyambung jadual penggambaran filem "Sooryavanshi" di Hyderabad pula.

Baru-baru ini, mereka menghadiri sesi penggambaran bersama Neena Gupta yang membawa watak ibu kepada Akshay di studio Mehboob Mumbai.

Kumpulan produksi akan turut merakam beberapa babak aksi Akshay yang berperanan sebagai anggota polis ATS bernama Veer Sooryavanshi.

Watak itu pertama kali membuat 'cameo' dalam filem arahan Rohit Shetty "Simmba" yang diterajui oleh Ranveer Singh.

Menurut laporan dari TimesofIndia, kumpulan pakar aksi lagak ngeri Rohit telah membuat persiapan bagi babak-babak tersebut sejak beberapa hari lalu di bandar itu.


"Ini merupakan jadual filem yang paling lama. Rohit bercadang untuk menamatkan penggambaran sebelum dia berangkat ke Bulgaria di mana dia akan menjalani penggambaran rancangan realiti pengembaraan musim ke-10, "Khatron Ke Khiladi" selama 45 hari.

"Sejurus kembali, Rohit akan memulakan penggambaran jadual terakhir "Sooryavanshi" di Goa bersama pelakon utama dan watak antagonis, Gulshan Grover, Abhimanyu Singh dan Nikitin Dheer," ujar satu sumber terdekat.

Sepertimana di Bangkok, penggambaran di Hyderabad ini juga banyak menggunakan motosikal, pistol dan lagak aksi ngeri. Sebelumnya, Akshay telah melakonkan babak yang memerlukannya tergantung dari sebuah helikopter dan menunggang motosikal di laluan kapal terbang di ibu negeri Thailand.

Terdapat laporan mengatakan filem itu akan menampilkan 'cameo' oleh peneraju filem Rohit yang lain iaitu Ajay Devgn sebagai Singham dan Ranveer Singh sebagai Simmba.

Menerusi "Sooryavanshi" Akshay dan Katrina kembali berganding sembilan tahun selepas filem "Tees Maar Khan". Ia juga menandakan kolaborasi mereka yang ketujuh.

(Sumber foto: Pinterest & Katrina Kaif Instagram)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide