Buletin
Akshay Kumar terharu filem "Mission Mangal" capai kutipan tinggi


Tarikh disiarkan: 18 September 2019


Akshay Kumar sifatkan "Mission Mangal" sebuah naskhah paling kreatif pernah dihasilkan.

18 Sep – Bintang terkenal Akshay Kumar meluahkan rasa gembira dan terharu apabila filem lakonannya, "Mission Mangal" telah mencapai kutipan yang tinggi sejak hari pertama ia ditayangkan.

Filem bertemakan angkasa lepas itu telah ditayangkan pada 15 Ogos baru-baru ini menjadi filem yang dirilis pada Hari Kemerdekaan India dengan kutipan paling tinggi pernah dicatatkan.

Seperti yang dilaporkan menerusi India Today, kutipan filem itu telah melebihi 200 Crores (lebih kurang RM120 juta), melepasi kutipan filem Salman Khan "Ek Tha Tiger" yang ditayangkan pada 2012.

Akshay telah menyambut kejayaan filem itu dengan memberikan penghargaan buat para penonton dan peminatnya menerusi laman Twitter baru-baru ini.


"Ini merupakan sebuah naskhah kreatif daripada Bhushan dan kami semua. Ia telah berjaya sehingga ke tahap ini atas sokongan dan penghargaan anda semua," ujarnya.

Filem itu adalah berdasarkan kisah benar mengenai misi mengorbit planet Marikh (Mars Orbiter Mission) yang pertama kali dijalankan oleh India.

Selain itu, "Mission Mangal" juga merupakan 'tribute' buat ahli saintis wanita yang bekerja di Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) dalam menjayakan misi tersebut.

Diarahkan oleh Jagan Shakti, filem itu dibintangi barisan pelakon lain seperti Vidya Balan, Sonakshi Sinha, Taapsee Pannu, Nithya Menen dan Kirti Kulhari.

(Sumber foto: Financial Times)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide