Buletin
Alia Bhatt jadi pilihan penerbit untuk filem "Gangubai"?


Tarikh disiarkan: 20 September 2019


Penerbit Sanjay Leela Bhansali masih berminat untuk bekerjasama dengan Alia Bhatt.

20 Sep – Selepas Priyanka Chopra disahkan tidak akan membintangi filem baru "Gangubai", kini Alia Bhatt dikatakan menjadi pilihan penerbit untuk menggantikan tempatnya sebagai peneraju utama filem.

Pada Mac lalu, pembikin filem Sanjay Leela Bhansali dikatakan telah berbincang dengan Priyanka namun aktres tersebut terpaksa menolak tawarannya kerana terikat dengan komitmen lain.

Biarpun filem "Inshallah" ditangguhkan, Bhansali masih ingin bekerjasama dengan Alia. Terdapat laporan yang mengatakan Alia telah beberapa kali dilihat di pejabat Bhansali di mana mereka dikatakan sedang berbincang mengenai projek baru.

"Bhansali sangat berminat untuk bekerja dengan Alia dan kini mereka telah mula berbincang mengenai sebuah filem yang berkisar tentang pemilik rumah pelacuran di Kamathipura, Gangubai.


"Filem ini merupakan sebuah adaptasi dari buku audio nukilan Hussain Zaidi dan Jane Borges, "Mafia Queens of Mumbai"," dedah satu sumber terdekat menerusi Times of News.

Dalam pada itu, Alia mempunyai beberapa buah projek filem lain dalam tangan yang bakal dibintanginya iaitu "Brahmastra", "Sadak 2" dan filem Telugu "RRR".

Laporan sebelum ini juga menyatakan bahawa Alia sedang mencari filem biopik yang bagus untuk dibintanginya memandangkan genre itu dilihat semakin laris dalam industri filem Bollywood.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Times of News)

Penulis: Nisa Irina