Buletin
Alia Bhatt ingin jadi pelakon serba boleh


Tarikh disiarkan: 8 Oktober 2019

Alia Bhatt tidak kisah untuk membawa sebarang watak termasuk watak antagonis.
Alia Bhatt tidak kisah untuk membawa sebarang watak termasuk watak antagonis.

8 Okt – Sebagai seorang individu yang terlibat dalam industri perfileman Bollywood, aktres Alia Bhatt berpendapat bahawa dia tidak perlu meletakkan batasan terhadap pemilihan watak.

"Jika saya meletakkan terlalu banyak halangan dan batasan dalam fikiran ketika memilih filem atau watak yang ditawarkan, ia tidak akan membantu saya untuk menjadi seorang pelakon yang serba boleh.

"Sebagai seorang penghibur, ada masa yang memerlukan saya untuk berfikiran kreatif. Saya lebih gemar berfikiran terbuka apabila membaca skrip atau mendengar jalan cerita," ujarnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambah aktres filem "Gully Boy" itu lagi, dia akan cuba menghiburkan penonton dan dalam masa yang sama memilih watak yang sesuai dengan jiwanya.


Di samping itu, Alia turut sedar akan peranannya sebagai pelakon yang mampu mempengaruhi penonton dan percaya bahawa mereka mampu membezakan antara fiksyen dan realiti.

"Jika saya membawa watak seorang pembunuh dalam filem, tidak semestinya saya menyokong tindakan itu atau saya seorang pembunuh dalam dunia sebenar," katanya.

Beralih ke perkembangan lain, aktres berusia 26 tahun itu bakal tampil dalam filem terbarunya, "Brahmastra", di mana dia akan berkongsi skrin dengan aktor Ranbir Kapoor.

Baru-baru ini juga, Alia telah membantu aktiviti mengumpul dana bagi golongan kanak-kanak yang menghidap sakit jantung dengan mengadakan pameran seni lukis bertemakan 'Art for the Heart'.

Alia telah dibantu oleh seorang doktor kardiologi pediatrik, Sumitra Venkatesh, yang bekerja di Hospital Kanak-Kanak Bai Jerbai Wadia, Mumbai.

(Sumber foto: Filmfare)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide