Buletin
Alia Bhatt tak terlalu utamakan penampilan


Tarikh disiarkan: 20 Jun 2019


Alia Bhatt lebih fokus pada hasil lakonan berbanding utamakan penampilan.

20 Jun – Pelakon popular Alia Bhatt telah berjaya menempatkan namanya sebaris dengan bintang-bintang terkenal Bollywood lain walaupun masih baru dalam dunia seni.

Bukan sahaja mempunyai rupa paras yang jelita, aktres yang berasal dari keluarga seni ini juga mempunyai bakat lakonan yang hebat apabila banyak filem-filem lakonannya berjaya menjadi filem pecah panggung.

Bagaimanapun, populariti yang dikecapinya ketika ini sedikit pun tidak mengubah pendiriannya terutamanya penampilannya yang mana dia sentiasa tampil mengikut keselesaannya sendiri tanpa berasa sebarang tekanan.

"Saya berasakan tidak pernah kelihatan jelita dengan pakaian yang hebat walaupun saya sering berbuat demikian. Walaupun saya suka berpakaian cantik, namun ada hari saya tidak rasa mahu melaram, dan ia okey bagi saya," ujarnya yang dipetik dari Masala.

Aktres berusia 26 tahun itu tidak mahu terlalu ambil pusing dengan pandangan segelintir pihak yang berkata seorang selebriti perlu sentiasa kelihatan 'sempurna'.


Bagi Alia, apa yang paling diutamakan adalah kerja kerasnya dalam setiap naskhah lakonannya.

Terdahulu, anak kepada pembikin filem tersohor Mahesh Bhatt dan Soni Razdan mula masuk ke dunia seni kira-kira tujuh tahun lalu iaitu pada tahun 2012 menerusi filem sulungnya berjudul "Student of the Year" bergandingan dengan Varun dan Sidharth Malhotra.

Filem tersebut berjaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dan sejak itu dia terus menjadi buruan penerbit dan pengarah yang mahu khidmatnya untuk filem terbitan mereka.

Dalam perkembangan lain, Alia kini sedang dalam penggambaran filem terbarunya berjudul "Brahmastra" yang mana dia bergandingan dengan kekasihnya iaitu Ranbir Kapoor.

Selain itu, dia juga bakal membintangi filem arahan bapanya sendiri yang diberi judul "Sadak 2".

(Sumber: Masala)
(Sumber foto: Mid-day.com)

Penulis: Ashraf Nasser