Buletin
Alia Bhatt seronok bekerja dengan keluarga sendiri


Tarikh disiarkan: 7 September 2019


Alia Bhatt teruja nantikan tarikh rilis filem arahan bapanya, "Sadak 2".

7 Sep – Aktres Alia Bhatt kini sedang sibuk bekerja dengan bapanya yang juga seorang aktor dan pembikin filem veteran, Mahesh Bhatt, dalam menjayakan filem "Sadak 2".

Filem itu merupakan sebuah sekuel kepada filem "Sadak" 1991 yang dibintangi oleh aktor veteran Sanjay Dutt dan aktres Pooja Bhatt.

Menurut Alia, pada mulanya dia berasa sedikit gementar dan teruja dalam masa yang sama, namun lama-kelamaan segala urusan kerja bersama bapanya berjalan dengan lancar. Aktres berusia 26 tahun itu turut meluahkan rasa seronok kerana berpeluang untuk bekerja di samping ahli keluarganya sendiri.


"Bekerja dengan keluarga adalah pengalaman yang sangat menarik. Perasaan yang saya dapat rasakan sepanjang bekerja ialah seronok dan teruja. Karakter yang saya bawa kali ini berbeza dan agak sukar serta memerlukan usaha yang banyak.

"Pada awalnya saya agak gementar tetapi sekarang semuanya berjalan lancar dan saya lebih teruja menantikan tarikh rilis filem ini," ujar Alia menerusi laporan yang dipetik dari Pinkvilla.

Baru-baru ini, pihak produksi telah menjalankan jadual kedua penggambaran yang memberi fokus kepada babak percintaan Alia. Lokasi penggambaran babak itu adalah di Ooty, India.

Selain Alia, Sanjay dan Pooja, filem "Sadak 2" turut menampilkan aktor Aditya Roy Kapoor. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 10 Julai 2020.

(Sumber foto: Grazia Magazine)
(Sumber artikel: Pinkvilla)

Penulis: Nisa Irina